Lima projek bekalan air alternatif dilaksana di Perlis tahun ini - Utusan Malaysia

Lima projek bekalan air alternatif dilaksana di Perlis tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan melaksanakan lima projek bekalan air alternatif luar bandar di kawasan yang mengalami masalah bekalan air kritikal di Perlis pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pembinaan sistem retikulasi yang bernilai kira-kira RM1.03 juta itu akan dilaksanakan di tiga lokasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayang dan masing-masing satu lokasi di DUN Simpang Empat dan Beseri.

“Projek ini kini berada di peringkat jawatan kuasa penilaian dan dijangka dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelaksanaan sistem tersebut bakal menyelesaikan masalah bekalan air yang dialami 741 isi rumah di kawasan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di pejabatnya di Kompleks DUN Perlis di sini hari ini.

Menurut Rina, bagi isu bekalan air di seluruh negeri ini termasuk permohonan penggantian paip lama, pihaknya akan memanjangkan perkara tersebut kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

“Saya dimaklumkan kadar purata air tidak berhasil (NRW) di Perlis agak tinggi iaitu mencecah sehingga 63 peratus dan ia perlu dibaiki segera,” ujarnya.

Beliau pada masa sama mengumumkan keseluruhan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Perlis yang telah diluluskan bernilai RM367 juta.

“Pada tahun ini, peruntukan bagi pembangunan di Perlis yang telah diluluskan adalah RM16.29 juta membabitkan 13 projek.

“Beberapa projek juga telah dan sedang dilaksanakan terutama 48 projek jalan perhubungan desa,” jelasnya.

Tambahnya, kementerian juga akan memberi fokus kepada keperluan Internet selain memberi ilmu serta kemahiran kepada penduduk luar bandar dalam bidang keusahawanan dan pelancongan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini