KUALA LUMPUR 22 Julai – Saham di Bursa Malaysia bercampur-campur ketika pembukaan dagangan hari ini, dalam keadaan persekitaran pasaran berhati-hati yang dipengaruhi kebimbangan geopolitik baharu di Timur Tengah.
Pada 9 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.76 mata kepada 1,656.43 daripada 1,658.19 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Indeks itu dibuka 0.09 mata lebih tinggi kepada 1,658.28.
Lingkungan pasaran adalah positif dengan 109 kaunter untung berbanding 45 kaunter rugi, manakala 165 kaunter tidak berubah, 1,570 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 72.71 juta unit bernilai RM16.19 juta.
Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, indeks itu agak rendah berikutan aktiviti pengambilan untung sederhana susulan kenaikan yang dicatatkan pada Jumaat.
“Walaupun kami menjangkakan indeks utama itu boleh meningkat berasaskan kenaikan pada Jumaat untuk terus pulih dan unjuran itu masih kekal. Kami berpandangan kenaikan seterusnya selepas ini akan terhad berikutan pendekatan berhati-hari dalam persekitaran pasaran,” menurutnya dalam kenyataan.
Firma penyelidikan itu berkata paras rintangan ditetapkan pada 1,660 dan 1,667 manakala sokongan penting masih di paras psikologi 1,650, diikuti 1,644.
Antara saham paling untung dalam kalangan saham berwajaran tinggi ialah Maybank dan PetChem yang masing-masing naik satu sen kepada RM8.88 dan RM7.82, manakala Public Bank tidak berubah pada RM22.88.
Bagi saham untung, Malaysian Pacific melonjak 17 sen kepada RM9.47, Malaysia Airports menokok tujuh sen kepada RM8.67 dan Gamuda naik empat sen kepada RM3.93.
Indeks FBM Emas menambah 2.35 mata kepada 11,792.57 dan Indeks FBMT 100 turun 7.40 mata kepada 11,608.85.
Indeks FBM Emas Syariah naik 2.04 mata kepada 12,166.90, FBM 70 menokok 10.62 mata kepada 14,923.65 dan FBM Ace meningkat 51.19 mata kepada 4,726.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 5.07 mata kepada 16,590.81, Indeks Perladangan turun 13.03 mata kepada 6,800.97 tetapi Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.16 mata kepada 156.97.
Pembekal kelengkapan perkebunan Baba Eco Group Bhd. yang kali pertama didagangkan di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia hari ini pada 16 sen sesaham, naik tiga sen berbanding harga tawaran dengan 110,000 saham diniagakan. – BERNAMA











