IPOH 22 Julai – Satu rakaman video memaparkan seorang anggota polis trafik bermotosikal dikatakan memukul seorang remaja lelaki di Jalan Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini tular dalam media sosial sejak semalam.
Menerusi rakaman berdurasi kurang 30 saat itu, perakam video berkenaan mengecam tindakan polis terbabit yang didakwanya memukul remaja tersebut.
Sehubungan itu, polis daerah Ipoh tampil memberi penjelasan berhubung perkara tersebut yang berlaku semasa Op Bersepadu Samseng Jalanan dijalankan di kawasan berkenaan.
Berita berkaitan:
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.35 petang apabila dua anggota polis terbabit diarahkan menghala ke Persiaran Brash.
Katanya, setibanya dua anggota itu di lokasi kejadian, mereka telah menyalakan lampu beacon dan membunyikan siren supaya kenderaan yang datang dari arah hadapan berhenti.
“Setelah beberapa kenderaan berhenti, dua buah motosikal tiba-tiba datang dari arah bertentangan dengan laju dan menunggang secara zig-zag serta merbahaya menuju ke arah anggota terbabit lalu melanggarnya.
“Akibat pelanggaran itu, anggota tersebut terjatuh dari motosikal dan dia segera turun dari kenderaan itu untuk membuat tangkapan. Kedua-dua penunggang motosikal itu bagaimanapun bertindak agresif dan cuba melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Ali berkata, kedua-dua penunggang motosikal itu berjaya ditahan dengan bantuan anggota trafik lain dan pemeriksaan mendapati penunggang motosikal itu adalah dua remaja lelaki berusia 17 tahun.
Katanya, saman dikeluarkan ke atas mereka atas beberapa kesalahan lalu lintas iaitu mengubahsuai kenderaan, tiada lesen memandu, dan memotong secara bahaya.
“Ujian saringan awal air kencing yang dikendalikan oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak terhadap kedua-dua penunggang berkenaan adalah negatif.
“Kedua-dua mereka dibenarkan balik setelah tindakan diambil,” katanya. -UTUSAN ONLINE











