KUALA LUMPUR 22 Julai – Majlis zikir dan selawat di kediaman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut, di sini semalam merupakan program keagamaan biasa yang telah diadakan sejak enam bulan lalu.
Setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, cubaan mengaitkan penganjuran majlis tersebut sebagai program politik merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan ia amat mengecewakan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk berhenti mempolitikkan penganjuran majlis keagamaan seperti itu.
“Seperti yang dimaklumkan oleh Anwar, majlis ini hanyalah majlis keagamaan biasa yang dianjurkan setiap hari Ahad malam Isnin sejak enam bulan lalu.
“Sebagai mana tradisinya, majlis sama diadakan setiap hari Khamis malam Jumaat puluhan tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, lebih 250 tetamu menghadiri majlis bacaan Yasin serta solat Maghrib dan Isyak berjemaah di rumah Anwar. -UTUSAN ONLINE











