CYBERJAYA 21 Julai – Langkawi mencatatkan sejarah dalam industri penyiaran negara apabila pulau itu menyaksikan peralihan siaran TV analog kepada siaran TV digital sepenuhnya bermula hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan memaklumkan, projek perintis peralihan siaran TV analog ke penyiaran Televisyen Terestrial Digital (DTTB) telah pun dilakukan di Gunung Raya, Langkawi pada pukul 2.30 pagi ini.
“Fasa perintis yang melibatkan penutupan penyiaran TV analog atau Analog Switch-off (ASO) akan ditambah dengan satu ujian dan kajian komprehensif dijalankan oleh SKMM dengan kerjasama pihak penyiar swasta selama dua minggu di pulau itu,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
SKMM menambah, peralihan analog ke DTTB itu menandakan era baharu bidang penyiaran Malaysia di samping ia merupakan salah satu usaha penting kerajaan untuk memacu negara ke digitalisasi dan memperoleh dividen digital menerusi penggunaan 700MHz spectrum untuk memperkasa komunikasi jalur lebar tanpa wajar contohnya 5G.
Ujar SKMM lagi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo akan merasmikan pelancaran DTTB ASO di seluruh negara pada satu tarikh yang akan ditentukan nanti.
“Peralihan siaran TV analog ke siaran TV myFreeview digital akan membolehkan rakyat untuk menikmati perkhidmatan siaran TV digital secara percuma dan tanpa sebarang langganan yuran.
“Liputan siaran TV myFreeview akan meliputi 98 peratus di kawasan berpenduduk iaitu perkhidmatan DTT yang menawarkan 15 saluran TV dan enam saluran radio oleh RTM, Media Prima, TV Alhijrah dan Bernama Channel News,” ujar kenyataan itu.
Sehubungan itu, rakyat kini boleh menerima siaran TV myFreeview dengan dua kaedah iaitu memasang dekoder dan aerial Ultra High Frequency (UHF) ke televisyen atau memasang aerial UHF kepada televisyen yang dilengkapi sistem TV Digital Bersepadu (IDTV).-UTUSAN ONLINE











