Kejayaan manis Puspa Margosa - Utusan Malaysia

Kejayaan manis Puspa Margosa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 21 Julai – Kumpulan Puspa Margosa yang mewakili daerah Kinta muncul juara Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Perak yang diadakan di kampus Institut Perguruan Guru (IPG), Hulu Kinta di sini hari ini.

Kemenangan ini menyaksikan kumpulan yang disertai Anis Nurdini Noridan, Mohamad Nazhan Safwan Mohd. Saad dan Noraida Nadzirah Md. Subiri mewakili Perak pada pentas akhir di Terengganu September nanti.

Kesemua mereka merupakan pelajar Pusat Pengajian Melayu di kampus IPG Hulu Kinta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selaku juara, kumpulan ini menerima hadiah wang tunai RM3,000, plak dan sijil penyertaan.

Menurut wakil kumpulan, Anis Nurdini, dia bersama ahli kumpulan yang lain akan berbincang untuk memperkemaskan lagi persembahan selain membaiki beberapa kelemahan.

“Kemenangan ini tidak dijangka kerana kami melakukan persiapan agak singkat disebabkan sibuk dengan tugasan kuliah.

“Selain membuat kajian, kami juga banyak dibantu oleh para pensyarah. Semestinya kami akan membuat persediaan rapi selain ingin mengharumkan nama Perak,” ujarnya.

Empat lagi kumpulan yang bertanding ialah Sang Kejora dari Hilir Perak yang muncul naib juara, Lagendary Art Creative (Kerian, saguhati), Pewaris Nusa (Kinta, saguhati) dan UniKL Mimet (Manjung, saguhati).

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pengerusi Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Perak, Dr. Abdul Aziz Bari.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, Taib Ubah.

Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Negara ini bertujuan menyemarakkan semangat kenegaraan dan patriotisme menjelang bulan sambutan kemerdekaan.

Sementara itu Taib memberitahu, sebanyak 40 kumpulan menyertai pertandingan itu pada peringkat awal sebelum lima pasukan terbaik melangkah ke pentas akhir.

Katanya, pertandingan kali ini membawa tema Malaysia Baru yang diterapkan menerusi penceritaan tokoh-tokoh sejarah yang dipersembahkan oleh para peserta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini