Perkampungan Budaya sempena Pekan Budaya Marang - Utusan Malaysia

Perkampungan Budaya sempena Pekan Budaya Marang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 21 Julai – Program Jom Singgoh Pekan Budaya Marang 2019 di Pantai Peranginan Kelulut bermula 26 hingga 29 Julai ini bakal menampilkan konsep baharu dengan mengetengahkan Perkampungan Budaya sebagai elemen utama tarikan para pengunjung.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, berbanding tujuh daerah lain, program tahunan yang dimuatkan dalam kalendar pelancongan negeri itu akan menampilkan keunikan tersendiri di segi persembahan kebudayaan atau pun pengisian aktiviti berdasarkan gaya hidup masyarakat di pesisir pantai daerah ini.

“Selain persembahan kebudayaan, kita akan turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk 28 pondok tradisi yang memperkenalkan produk popular keluaran beberapa kampung terpilih di daerah ini termasuk dari segi kerja tangan seperti anyaman, kraf, ukiran serta makanan tradisi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara acara yang menjadi tumpuan ialah Pameran Jabatan Kerajaan, pertandingan akhir dikir barat Sekolah-Sekolah Peringkat Negeri Terengganu, pertandingan memancing dan menjala ikan, pertandingan istana pasir, pukat tarik pantai, jahit pukat, demostrasi masakan tradisional, tumbuk emping, anyaman atap nipah, silat tempur, gasing pangkah dan bicara ilmu-Tanyalah Ustaz,” ujarnya.

Tengku Farok Hussin menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas menjayakan program Kayuhan Jom Singgah -Pekan Budaya Marang yang diadakan bertujuan mempromosikan acara berkenaan di Pantai Peranginan Kelulut di sini petang semalam.

Yang turut hadir pada program yang bermula dari Dataran Bandar Marang bersama 60 peserta kayuhan itu ialah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Sementara itu, Tun Ahmad Faisal bekata, program Jom Singgah Pekan Budaya Marang tahun ini sebagai persiapan awal bagi menyambut acara Tahun Melawat Malaysia (TMM) pada tahun 2020.

Konsep baharu itu diperkenalkan itu dengan harapan akan terpilih dan bersaing dengan negeri lain untuk tampil dalam Kalendar Acara Pelancongan Malaysia dan juga destinasi-destinasi utama pelancongan Malaysia.

Bagi tujuan itu katanya, pihaknya perlu bersaing dengan negeri-negeri lain dengan berusaha lebih gigih termasuk mempromosi dan memperkenalkan lebih banyak pakej produk untuk dijual antaranya produk Pulau Kapas sebagai satu destinasi pelancongan yang mudah pergi dan balik pada hari sama.

“Selain itu, kita boleh gabungkan pakej beberapa produk ini dengan aktiviti menyusur sungai Marang di mana banyak produk pelancongan yang ada di daerah ini khususnya melibatkan aktiviti kebudayaan dan juga gaya hidup sebenarnya mempunyai kualiti sangat tinggi dan boleh dijual sehingga ke Eropah.

“Begitu juga aktiviti pesisir pantai seperti Pukat Tarik yang suatu ketika dahulu menjadi pekerjaan penduduk di mana kalau di Jepun, aktiviti seperti ini boleh dijadikan pakej pelancongan yang boleh dikenakan bayaran dan boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini