Terengganu II beralih fokus ke Piala Cabaran - Utusan Malaysia

Terengganu II beralih fokus ke Piala Cabaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Pengendali Terengganu II, Tengku Hazman Raja Hassan melahirkan rasa ‘puas’ setelah pasukannya berjaya mencapai sasaran untuk berada di kelompok lima teratas Liga Perdana musim ini berbanding tempat tercorot musim lalu.

Sambil menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil kerja keras semua pihak, beliau yang juga bekas pemain skuad kebangsaan berazam untuk meneruskan rentak kecemerlangan itu pada Piala Cabaran yang akan bermula Ogos ini.

Beliau berkata fokus The Turtles pada masa ini ialah untuk mempertahankan Piala Cabaran yang dimenanginya musim lalu tetapi mengakui bakal menghadapi sedikit kesukaran apabila pemain yang tinggal untuk beraksi hanya daripada barisan kedua pasukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mungkin hanya ada pemain daripada lapisan kedua kerana ada penggiliran daripada Terengganu yang memerlukan beberapa pemain utama kami.

“Bagaimanapun, saya sudah kenal pasti dua tiga pemain daripada Piala Presiden (Terengganu III) yang berpotensi dan mungkin akan panggil mereka untuk ‘top up’ kekurangan kami,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan terakhir liga menentang juara Liga Perdana Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Pada perlawanan itu TFC menang tipis 2-1 ke atas Sabah menerusi gol Mohammad Haidhir Suhaini pada minit ke-45 dan Mohammad Ridzuan Mohd Razali pada minit ke-54 manakala gol tunggal Sabah dijaringkan penyerang import, Aguinaldo Policarpo pada minit ke-63.

Sementara itu jurulatih Sabah Jelius Tabias Ating berkata beliau amat kecewa dengan corak permainan sambil lewa yang ditonjolkan oleh pemain barisan keduanya pada perlawanan itu.

Jelius berkata walaupun piala Liga Perdana sudah berada dalam genggaman, pemain tidak seharusnya menunjukkan sikap ambil mudah sebaliknya menggunakan perlawanan terakhir semalam sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan lebih penting iaitu Piala Malaysia.

“Malam ini saya beri peluang kepada pemain yang jarang diturunkan supaya mereka lebih bersedia menghadapi Piala Malaysia kerana prinsip saya kita tidak boleh bergantung pada sebelas pemain sahaja tetapi seluruh skuad.

“Tapi sayangnya mereka tidak menunjukkan karekter permainan yang sebenar dan ia sudah tentu bukan cara kita,” katanya. – BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini