Sering berlaku apabila seseorang itu berhadapan dengan masalah emosi, individu terlibat akan mengadu mengalami masalah dalam sistem saluran pencernaan tubuh.
Antaranya mereka akan mengalami cirit-birit, kembung perut, sembelit atau mengadu makanan yang dimakan tidak hadam selain masalah gastrik atau pedih ulu hati.
Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC), Profesor Dr. Ida Normiha Hilmi berkata, keadaan itu berlaku kerana saluran pencernaan mempunyai saraf

tertentu yang dikawal oleh otak (gut-brain axis).
“Pada dasarnya, bila merasa cemas, risau atau tertekan ia akan mengubah keadaan saraf perut dan usus apabila berlaku penguncupan menyebabkan kita merasa tidak selesa. Namun ini sebenarnya merupakan satu faktor psikologi pesakit,” katanya.
Lazimnya masalah pencernaan ini mempunyai simptom tertentu seperti ketidakselesaan atau kesakitan pada bahagian perut, kembung, pedih ulu hati atau muntah yang juga dikenali sebagai functional dyspepsia (senak).
Sindrom Usus Rengsa (IBS) menyebabkan pesakit merasa sakit pada bahagian abdomen, ‘kejang perut’, cirit-birit, sembelit dan perubahan tabiat buang air besar.
“Untuk penyakit ini kita boleh beri pesakit ubat seperti ubat tahan sakit atau ubat cirit-birit dan sembelit namun pada masa yang sama jika mereka mengalami tekanan, penyakit ini akan semakin teruk. Oleh itu pengambilan ubat tidak akan menyelesaikan masalah sebenar,’’ ujar beliau.
Justeru katanya, kaedah bukan ubat perlu dilakukan melalui hipnoterapi, terapi sikap, terapi rehat atau yoga yang boleh membantu mengawal masalah pencernaan yang dihadapi.

“Ramai pesakit yang mengalami masalah ini namun mereka sukar menerima hakikat bahawa ini melibatkan masalah psikologi. Sekiranya mereka lebih bertenang maka simptom dialami akan menjadi lebih baik.
“Sukar bagi kami sebagai doktor hendak menjelaskan kepada mereka jika mereka tetap bertegas mahu mengambil ubat bagi mengubati simptom yang dialami. Ini yang menyulitkan kerana jika ubat habis sudah pasti penyakit itu akan berulang,” katanya.
Sering kali juga kata Dr. Ida Normiha, beliau terpaksa merujuk pesakit terbabit kepada pakar psikologi atau psikiatri kerana pendekatan berkenaan adalah lebih baik daripada memberi 10 jenis ubat tetapi isu mental atau psikologi pesakit tidak berjaya ditangani.
Katanya, di hospital negara-negara maju, telah disediakan terapi untuk mengatasi isu psikologi pesakit seperti terapi sikap kognitif dan biofeedback iaitu teknik untuk melatih pesakit mengawal proses tubuh, tabiat makan serta nutrisi.
Bagaimanapun beliau akui, memang terdapat masalah perut dan usus yang mempunyai gejala yang sama seperti refluks gastroesofagus (GERD) akibat ulser, ‘luka’ pada perut namun jarang sekali melibatkan kanser.
“Lazimnya orang awam tidak dapat membezakan antara penyakit-penyakit tersebut daripada functional dyspepsia dan IBS kerana ini memerlukan endoskopi (teropong) jika gejala berpanjangan atau tidak bertambah baik dengan pengambilan ubat,” katanya.
Contohnya, GERD atau pedih ulu hati merupakan suatu keadaan spesifik apabila sfinkter iaitu injap atau otot-otot khas esofagus bawah (LES) yang biasanya hanya terbuka apabila ada makanan dan tertutup jika sebaliknya, menjadi longgar dan menyebabkan asid perut naik ke atas.
Berbanding masalah psikologi pesakit ketara yang melibatkan functional dyspepsia dan IBS, pesakit GERD lazimnya merasa lega serta-merta selepas memakan ubat mengurangkan asid perut.
Walaupun, pakar perubatan sudah lama sedar bahawa otak atau ‘psikologi’ mempengaruhi perut dan usus namun kata Dr. Ida Normiha, terdapat penemuan baru-baru ini yang mendakwa kewujudan ‘gut mikcrobiome’ iaitu bakteria, fungus, virus yang terdapat dalam usus manusia yang juga mampu mempengaruhi otak manusia.
“Melalui penemuan ini, saintis mendapati kewujudan bakteria dan sebagainya yang tidak sihat dalam usus menyebabkan tercetusnya toksin dalam otak yang akan membuat individu itu merasa tertekan namun penemuan ini masih belum terbukti,” katanya.











