KUALA LUMPUR 19 Julai – Nampaknya kemelut dalaman PKR terus memuncak.
Belum pun reda isu ketegangan antara Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kini dilaporkan pula Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Hassan Karim meletak jawatan.
Tidak dapat dipastikan kaitan peletakan jawatan Hassan itu dengan situasi semasa PKR, namun menurut sumber yang dipetik daripada laporan Astro Awani, Hassan dipercayai menerima tekanan daripada pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengannya.
“Pergolakan dalaman antara individu tersebut dengan Hassan telah lama berlaku tetapi sejak kebelakangan ini tekanannya makin kuat.
“Tetapi kes ini (peletakan jawatan) memang tidak berkaitan dengan perbalahan parti,” kata sumber parti tersebut.
Hasan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang dilaporkan telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut kepada Anwar minggu lalu, tetapi ditolak.
“Datuk Seri (Anwar) tidak melayan surat peletakan jawatan Hassan kerana beliau memerlukan Hassan untuk mengetuai PRK di Johor,” jelas sumber tersebut.
Ini merupakan kali kedua Hassan meletak jawatan sebagai MPN PKR Johor. Kali pertama ialah pada tahun lalu tetapi beliau menarik semula keputusan tersebut. – UTUSAN ONLINE











