SHAH ALAM 19 Julai- Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mengambil inisiatif bagi memastikan syarikat korporat di negeri ini untuk terus istiqamah mengeluarkan zakat mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop, berkata itu adalah antara misi yang mahu dilaksanakannya selepas beliau dilantik menerajui LZS bulan lalu.
“Antara agenda dalam perancangan inisiatif terbabit adalah menganjurkan program yang dapat mengekalkan kesetian syarikat korporat terbabit untuk terus menyumbangkan zakat mereka.
“LZS amat memerlukan pengeluar zakat dari golongan korporat memandangkan asnaf dan fakir miskin di Selangor antara yang ramai di negara ini, “katanya dalam program turun padang di Sementa di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mendapati zakat yang dikeluarkan syarikat besar ini sudah banyak membantu LZS menyalurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.
Katanya lagi, program yang dirancang nanti bukan sahaja memberi kesan positif kepada LZS sebaliknya pengeluar zakat korporat juga akan menerima manfaatnya.
“Selangor antara negeri yang mempunyai bilangan asnaf fakir dan miskin tertinggi kira-kira 53,000 keluarga dan 5,992 orang mualaf sekaligus pihaknya mempunyai tanggungjawab yang besar.
“LZS mahu pihak yang banyak membantu selama ini untuk terus kekal mengeluarkan zakat kepada kita dan berharap banyak lagi syarikat mengeluarkan zakat, “katanya.
Beliau menambah, LZS akan menumpukan kekerapan berkenaan program dianjurkan supaya pengeluar zakat tahu kemana pergi wang agihan dikeluarkan mereka.
Sementara itu, Saipolyazan berkata, bilangan individu yang mengeluarkan zakag secara terus kepada golongan kurang berkemampuan tanpa melalui LZS semakin berkurangan.
Katanya, pengurusan agihan LZS yang telus berjaya menyedarkan ramai pihak hingga akhirnya membayar terus zakat mereka kepada LZS.
“Cara ini terpulang kepada individu dan mereka merasakan cara mereka itu sampai terus kepada golongan sasaran.
“Bagaimanapun, apabila melihat agihan telus yang dibuat LZS membuatkan meraka tertarik dan terus datang ke LZS tanpa was-was,” katanya. – UTUSAN ONLINE











