[VIDEO] Pemaisuri Agong hiba menjelang Hari Pertabalan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Pemaisuri Agong hiba menjelang Hari Pertabalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa hiba menjelang Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 sebelum menaiki takhta dan bersemayam di singgahsana yang pernah dinaiki oleh Almarhum ayahanda dan bondanya.

Menerusi rakaman video yang dikongsikan dalam laman Instagram pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim, Tunku Azizah tidak dapat menahan sebak kerana Almarhum ayahanda dan bondanya tidak sempat menyaksikan baginda dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan pada 30 Julai ini.

“Saya sedih kerana ayahanda dan bonda sudah tiada. Paling sebak kerana saya dan Tuanku akan duduk di atas singgahsana yang Almarhum ayahanda dan bonda kami pernah gunakan semasa ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tuanku dan saya akan menggunakan takhta singgahsana itu juga. Itu yang membuatkan saya terasa hiba sungguh kerana ayahanda dan bonda kami tiada untuk menyaksikan pertabalan ini,” titahnya menerusi video tersebut hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Azizah bertitah meminta agar rakyat jelata mendoakan kesihatannya dan Yang di-Pertuan Agong supaya dapat menjalankan tugas sebaik-baiknya untuk berkhidmat kepada rakyat. 

“Doakanlah saya dan Tuanku selamat, panjang umur, sihat walafiat untuk jalankan tugas-tugas kami sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk berkhidmat kepada rakyat,” titah Tunku Azizah.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam 15 Januari lalu hasil keputusan sebulat suara mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang diadakan di Kuala Lumpur.

Baginda dimasyhurkan bagi menggantikan ayahandanya yang dilaporkan dalam keadaan gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah.

Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak lama lagi, Seri Paduka meminta pihak Istana Negara mendapatkan semula takhta singgahsana tempat bersemayam kedua-dua paduka ayahanda ketika ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan kelapan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini