KOTA BHARU – Kelantan ‘wajib’ menewaskan UKM FC pada perhitungan terakhir di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini mampu menyelamatkan pasukan itu daripada terjerumus ke saingan Liga M3 musim depan.
Meskipun berdepan ‘tekanan’ pengendali The Red Warriors (TRW) Yusri Che Lah mahu barisan pemainnya kekal fokus untuk mengharungi pertarungan selama 90 minit.
Yusri berkata, selain kekal fokus dia mahu barisan pemain memanfaatkan setiap peluang terhidang dengan menjaringkan gol pada perlawanan itu.
“Hanya jaringan sahaja yang mengesahkan kita keluar sebagai pemenang pada perlawanan itu nanti seterusnya kekal di Liga Perdana 2020 nanti,” katanya.
Yusri memberitahu, bagaimanapun dia tetap mengingatkan barisan pemain TRW supaya tidak mengambil mudah kekuatan lawan.
Katanya, pasti akan turun bermati-matian untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan itu bagi mencari kedudukan terbaik dalam penutup Liga Perdana musim ini.
“UKM FC pastinya akan mempertaruhkan barisan terkuat berdepan Kelantan nanti.
“Jadi kita perlu waspada, saya harap pemain dapat memberikan yang terbaik pada perlawanan itu nanti,” ujarnya.
Selepas mengharungi 19 perlawanan Kelantan kini menduduki tangga kesepuluh Liga Perdana dengan mengumpul 14 mata dan hanya dibezakan satu mata keatas Sarawak. – UTUSAN ONLINE.











