PUTRAJAYA – Seorang wanita warga Vietnam dipercayai dalang utama di sebalik sindiket pemalsuan cop-cop keselamatan Jabatan Imigresen Malaysia ditahan dalam satu serbuan di kondominium di Sungai Besi, Kuala Lumpur semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan pada pukul 12 tengah malam itu turut berjaya memberkas empat lagi individu warga Vietnam termasuk adik perempuan suspek berusia 46 tahun selain seorang lagi wanita dan dua lelaki yang aktif melakukan kegiatan berkenaan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket yang didalangi suspek berusia 51 tahun itu menyasarkan warganegara Vietnam yang mempunyai masalah untuk pulang ke negara asal atas faktor tinggal lebih masa.
“Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pendatang asing yang masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) tetapi tidak pulang selepas pas tamat tempoh dan terus bekerja di negara ini secara haram,” katanya pada sidang akhbar di Bahagian Perisikan Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, suspek utama cuba menghapuskan bukti dengan menyorokkan cop-cop palsu bersama beberapa keping pasport di dalam patung beruang panda sebelum mencampakkan ke bawah dari tingkat 13 kondominium terbabit.
“Salah seorang suspek juga bertindak ganas dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging untuk mengugut, namun keadaan dapat dikawal dan tiada kejadian buruk berlaku,” katanya.
Tambahnya, pelbagai barang dirampas dalam serbuan itu antaranya 61 pasport milik warganegara Vietnam, lapan cop keselamatan keluar dan masuk palsu, satu unit komputer riba selain sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza.
“Mereka tidak akan terlepas (keluar dari negara) kerana kita boleh kesan (cop palsu) dan cop Imigresen asli mempunyai ciri-ciri keselamatan unik yang tidak boleh didedahkan,” katanya.
Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan pas, Seksyen 56(1)(l) akta sama kerana menggunakan pas yang dipalsukan dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kebenaran sah.
“Kesemua suspek ditahan di Depot Tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” ujarnya. – K! ONLINE











