NEW YORK 18 Julai – Seorang senator Amerika Syarikat (AS) menggesa Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyiasat aplikasi telefon pintar popular, FaceApp berikutan wujud kebimbangan ia akan mengancam keselamatan nasional dan kebocoran data peribadi.
Aplikasi berkenaan, yang popular dalam kalangan selebriti, menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) untuk mengubah foto wajah pengguna ketika mereka tua.
Semalam, Pemimpin Minoriti Senat AS, Chuck Schumer menyuarakan kebimbangan berhubung aplikasi yang dibangunkan oleh Rusia itu dan menggesa FBI serta agensi perlindungan pengguna, FTC untuk melihat sekiranya ia mengancam keselamatan dan data peribadi.
“Lokasi FaceApp di Rusia mencetuskan lebih banyak persoalan tentang bagaimana dan bila syarikat pembangunan itu membekalkan akses data rakyat AS kepada parti ketiga, termasuklah kepada negara asing,” ujar Schumer.
FaceApp menjadi aplikasi paling banyak dimuat turun di gedung pembelian aplikasi, Google Play dengan lebih 100 juta pengguna. – AFP











