INSTITUSI keluarga sangat penting untuk menangani sebarang salah laku anak-anak, apatah lagi anak-anak remaja dalam meniti arus kemajuan yang serba mencabar ini.
Peribahasa menyebut melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ini tidak boleh dipandang remeh oleh ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab mereka memastikan anak-anak bersiap sedia menghadapi cabaran semasa dan untuk jangka masa panjang.
Walaupun dilihat sekolah sebagai institusi utama selepas ibu bapa, ibu bapa tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab kepada pihak sekolah 100 peratus kerana sebelum anak-anak mereka dihantar ke sekolah, anak-anak menjadi jagaan mereka sejak dilahirkan sehinggalah dihantar ke kelas prasekolah.
Anak-anak pula bukan 24 jam di sekolah, paling lama pun tujuh jam sehari dan seorang guru pula terpaksa mengendalikan lebih kurang 40 pelajar. Adalah sukar bagi seorang guru menyelami, mengenali, memahami dan menilai secara keseluruhan bagi setiap pelajarnya dalam keterbatasan masa di sekolah.
Di luar sekolah pula, sebelum anak-anak remaja ini sampai di rumah selepas pulang dari sekolah, mereka menjadi milik masyarakat. Kadang-kadang, masyarakat menjadi keliru dengan anak-anak sekolah yang berkeliaran di sana-sini selepas waktu persekolahan. Hendak tegur pun tidak berani kerana mungkin pelajar-pelajar ini ada kelas tambahan, aktiviti kokurikulum dan terpaksa pulang lewat.
Kadang-kadang, jika ditegur, yang menegur pula dibuli sehingga menjadi tular dan menjadi tontonan ramai pula. Oleh itu, usaha masyarakat untuk mengurangkan salah laku remaja di luar rumah ternyata bukanlah mudah. Anak-anak remaja yang terlalu ‘berani’, tidak lagi menghormati orang tua, malah bersikap kurang ajar menjadi satu penghalang masyarakat luar membantu remaja bermasalah demi melahirkan masyarakat remaja yang berkualiti dan bersahsiah mulia.
Bukan semua yang bersikap begini tetapi jika ada segelintir daripadanya sudah tunjukkan ‘belang’ ketika masih ‘rebung’ lagi, tidak mustahil apabila menjadi ‘buluh’ nanti, bisanya makin menjadi-jadi dan boleh menyusahkan orang lain.
Pada masa ini, anak-anak melawan ibu bapa, meninggikan suara apabila bercakap dengan ibu bapa bukanlah perkara asing lagi. Di sekolah pula, pelajar-pelajar yang melawan guru, melabel guru dengan pelbagai gelaran juga bukanlah perkara asing lagi.
Oleh hal demikian, ibu bapa mestilah memainkan peranan menangani anak-anak mereka supaya anak-anak mereka menjadi manusia yang mantap dalam segenap aspek terutamanya moral yang boleh dijadikan bekalan sampai bila-bila.
Ibu bapa mestilah mengetahui jaringan rakan anak-anak mereka di luar rumah, mengambil tahu siapa sebenarnya rakan anak-anak mereka dan apa aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka di luar rumah jika tidak ke sekolah.
Anak-anak yang dibiar tanpa pengawasan berisiko akan terbabit dengan pelbagai salah laku sosial di luar rumah. Pengaruh rakan sebaya, media dan persekitaran banyak mewarnai dunia remaja kini.
Maka tidak hairanlah, bermula dengan ponteng sekolah, anak-anak akan mencari jalan mudah mendekatkan diri dengan salah laku sosial. Maka apabila terjadinya demikian, buluh sudah tidak boleh dijadikan rebung semula, direndam macam mana pun, keras juga.
Kalau dimasak pun, rasanya bukannya rebung, tetapi buluh!











