Harga sebuah kerusi - Utusan Malaysia

Harga sebuah kerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARTA tertera di sebelah kanan ini sengaja Tumpang minta rakan grafic artist Utusan perbesarkan.

Sebab mudah untuk ahli-ahli Parlimen yang sedang bersidang waktu ini belek-belek balik kedudukan parti mereka di ranking mana. Campur tolak kerusi Parlimen itu ini, dapat jumlahnya, sekali lagi mata difokuskan di mana kedudukan kita?

Kerusi Parlimen begitu berharga ‘la ni’

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap pasal betapa berharga kerusi wakil rakyat ini, Tumpang kembali mengimbas kisah pilihan raya negeri Sabah 1994. Waktu itu Parti Bersatu Sabah (PBS) kembali membentuk kerajaan selepas mendapat majoriti mudah 25 daripada 48 kerusi DUN manakala baki 23 kerusi dikuasai BN.

Bagaimanapun, kerajaan PBS hanya bertahan dua minggu selepas sebahagian besar wakil rakyatnya melompat menyertai BN.

Setelah insiden melompat itu, PBS akhirnya hanya mempunyai tiga wakil rakyat, iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Datu Amirkahar Datu Mustapha sekali gus memaksa Pairin melepaskan jawatan Ketua Menteri pada 17 Mac 1994.

Rupanya kisah 1994 tak habis di situ. Lebih dua dekad berlalu, baru tahun lepas sahaja drama mega lompat parti itu muncul kembali selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pecahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada masa itu adalah BN (29), Solidariti (2), PKR (2), DAP (6) dan Warisan (21). Tan Sri Musa Aman kemudian mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah walaupun kedudukannya tidak selamat.

Dua hari selepas Musa angkat sumpah, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN umum keluar parti. Mereka menyertai Warisan dan bekerjasama dengan DAP serta PKR untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah menggantikan Musa. Dari situ aktiviti lompat parti berterusan termasuk melibatkan sekumpulan ahli parlimen yang UMNO gelarkan ‘enam jahanam’.

Dan ‘debaran lompat parti’ mencapai kemuncaknya 5 Julai lalu apabila Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara tiba-tiba mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Kalau diandaikan Bersatu mahu membentuk komponennya sendiri, penyertaan semua Ahli Parlimen UMNO andai kata berlaku akan menjadikan Bersatu mempunyai 64 kerusi (lihat carta). Jika disokong oleh Warisan (9), GPS (19) dan Pas (18), Dr. Mahathir bakal menguasai 110 kerusi dan perlu dua kerusi lagi untuk membentuk kerajaan (112 majoriti mudah). Kerusi itu boleh jadi daripada MIC (1 kerusi), MCA (1) mahupun UPKO (1).

Adakah ini mengundang risiko besar buat kerajaan PH, sekali gus menjadikan kedudukan PKR dan DAP dalam kerajaan goyah. Dan di ambang bahaya, lebih-lebih lagi jika ada ahli Parlimen PKR menyertai Bersatu?

Ah! begitu berharganya sebuah kerusi.



My Way…que sera sera



UNTUK kurangkan cakap-cakap kemelut peralihan kuasa ‘dari tempoh dua tahun ke tiga tahun atau ke sepenggal’, jalan penyelesaiannya bagi Tumpang mudah sahaja – kunci mulut.

Jangan komen langsung pasal isu ini. Lebih-lebih lagi dengan media asing.

Sebab anda tidak boleh salahkan media semata-mata uar-uarkan isu ini. Kerana komen yang keluar daripada pemimpin tertentu, apatah lagi dari dalam kerajaan PH sendiri akan ‘dinaikkan’ atau diolah mengikut angle wartawan dan editor.

Sepatutnya pun fokus kerajaan waktu ini adalah membantu rakyat yang dihimpit kos hidup yang kian mencengkam.

Tumpang lebih selesa jika isu peralihan kepemimpinan dari Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diredakan buat masa ini.

Meminjam perkataan que sera sera – “apa yang terjadi, terjadilah” – yang telah dua kali diungkapkan oleh Anwar, itulah sebenarnya jawapan terbaik meredakan isu ini. Pendek kata, ‘Masa hadapan di luar kawalan’.

Que sera sera asalnya dari bahasa Sepanyol yang menjadi popular selepas dijadikan lirik lagu pada 1956 oleh penyanyi Amerika Syarikat, Doris Day. Daripada bait-bait lagu itu terkandung makna yang cukup mendalam. Kalau dikaitkan dengan Anwar, tentu sekali berkisar tentang laluan penuh onar berduri yang diharunginya sehingga menghampiri kemuncak politiknya hari ini.

Dan jawapan muktamad penutup isu peralihan kuasa ini pasti sekali terletak di tangan Dr. Mahathir.

Ini bersesuaian dengan lirik lagu kegemaran Perdana Menteri, My Way nyanyian Frank Sinatra. Sesiapa yang faham, mengenali karektor Dr. Mahathir, tentu akur beliau akan terus berpegang pada prinsip-lakukan ikut cara saya seperti mana bait-bait lirik lagu itu, I did it my way.

Lirik lagu ini cukup menyentuh hati kerana mengisahkan tentang perjuangan diri untuk disampaikan kepada sahabat-sahabatnya.

Dalam politik bukan hanya kebolehan yang ‘menjenterakan’ seseorang ke atas. Nasib pun main peranan.
Larry King, pengulas media Barat yang terkenal ada menyatakan: “Those who discard luck as a factor in their life attainment are not realists.

Que sera sera, lagu bernada anak-anak dan ringkas tetapi memiliki makna cukup mendalam. Menghayatinya membuatkan Tumpang lalu mengingatkan diri sendiri akan keperluan menjalani hidup sebagai manusia yang bersahaja, manusia seutuhnya dan manusia yang baik. Yakni, tetap melangkah dan menerima apapun yang terjadi nanti.

Begitu pun, walau apa lagu untuk menginspirasi – My Way, que sera sera kah, waima falsafah itu ini-Tumpang cukup insaf dalam lapangan politik-jangan dilupai bahawa nasib, jatuh bangun dalam politik adalah kehendak dan ketentuan-Nya.

Tiada sesuatu dalam politik yang kekal. Kawan boleh jadi lawan dan lawan boleh jadi kawan.

Yang kekal hanya isu dan perjuangan. Yang dicari dan dipilih ialah perjuangan yang sentiasa mengenal diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini