KUALA LUMPUR – Individu yang terlibat dalam video seks bersama seorang menteri kanan Kabinet, Haziq Abdullah Abdul Aziz direman selama enam hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap Haziq dikeluarkan oleh Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki di Mahkamah Majistret di sini.
Selain Haziq turut direman ialah lima lagi individu lain yang kesemuanya adalah lelaki.
Reman yang bermula hari ini sehingga 20 Julai ini bertujuan membolehkan siasatan lanjut terhadap Haziq yang berusia 27 tahun dan lima lagi individu itu dijalankan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 377B iaitu melakukan persetubuhan bertentangan dengan luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi hukuman memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Difahamkan Haziq bersama lima lagi individu itu ditahan semalam.
Pada 14 Jun lalu Haziq di tahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang.
Penahanan itu dibuat berikutan pengakuan Haziq Abdullah yang merupakan Ketua AMK Cabang Santubong, Sarawak bahawa dia adalah individu dalam video seks tersebut.
Bagaimanapun pada 15 Jun lalu, Haziq yang juga bekas Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Sentubung, telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad, dalam kenyataan, berkata Haziq Abdullah dibebaskan pukul 5.45 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.
Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.
Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuh beliau dan memusnahkan karier politiknya. – K! ONLINE











