KUALA LUMPUR – Penguam Siti Kasim meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr. Mujahid Yusof Rawa agar tidak menghina umat Islam dengan mengeluarkan kenyataan mengelirukan berkaitan isu arak tanpa alkohol.
Siti Kasim berkata, kenyataan yang dikeluarkan Mujahid berkaitan isu tersebut menyebabkan umat Islam kini keliru dengan apa haram dan halal.
“Wahai Mujahid Rawa, tolong jangan hina umat Islam seolah-olah kita mudah dikelirukan. Mungkin mereka yang telah diajar tidak menggunakan akal akan keliru.
“Oleh itu, jangan cuba keluarkan peraturan apa yang kami boleh atau tidak boleh minum. Jelas sekali sekarang anda membingungkan orang lain mengenai apa yang benar-benar haram dan apa yang tidak!” kata Siti Kasim dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Semalam Mujahid meminta syarikat pengeluar minuman keras tidak sesekali mengelirukan umat Islam dengan mengeluarkan produk minuman dan arak tanpa alkohol.
Menurut beliau tindakan syarikat minuman keras mengeluarkan produk mengelirukan umat Islam adalah satu tindakan tidak baik.
Mujahid berkata, penggunaan terma arak tanpa alkohol amat mengelirukan, lebih-lebih lagi proses penghasilan minuman itu termasuk penyulingan air dibuat dalam kerangka menghasilkan arak beralkohol.
Dalam hantaran yang sama, Siti Kasim berkata, beliau difahamkan bir tanpa alkohol telah dijual di Mekah sejak tahun 1980-an.
“Saya difahamkan malah di Mekah pun sejak tahun 80-an mereka menjual bir tanpa alkohol ini.
“Jadi, apakah masalah anda? Tolong berhenti beritahu kami cara untuk menjalani kehidupan, boleh?” kata Siti Kasim.-UTUSAN ONLINE











