Tidak jemu timba ilmu berniaga - Utusan Malaysia

Tidak jemu timba ilmu berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah gagal dalam beberapa perniagaan terdahulu menjadi pengajaran berguna kepada Pengasas Kunafa Food Services, Faizzul Hakim Abdul Razak, 28, untuk meneruskan perniagaan biskutnya di bawah jenama Kapit Kukiss.

Sebaik menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2015 dalam pengajian Undang-Undang Sivil, Faizzul Hakim nekad memulakan perniagaan sendiri kerana merasakan ia tidak sesukar mana dan mampu melakukannya.

“Saya cuba berniaga kebab dengan konsep francais, tetapi malangnya ia tidak berjaya ke­rana kekangan tenaga kerja. Saya juga pernah membuka taska, namun nasibnya tetap sama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Faizzul Hakim, ke­gagalan itu disebabkan oleh ilmu perniagaan yang cetek selain terdorong untuk melakukan sesuatu tanpa mengetahui asas dan kekuatan diri.

“Selepas itu, saya memulakan perniagaan biskut tetapi bukan secara serius. Saya masih lagi terkapai-kapai dalam menentukan hala tuju seperti bagaimana hendak memasuki pasaran, siapa golongan sasar dan kaedah pendedahan produk kepada orang ramai.

“Segalanya berubah setelah saya menyertai program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) kelolaan SME Corporation Malaysia (SME Corp). Setelah menjalani program ini selama tiga minggu, hala tuju saya semakin jelas di samping potensi perniagaan semakin meningkat,” katanya yang me­nerima geran RM15,000 daripada SME Corp.

Usaha Faizzul Hakim untuk mendalami ilmu perniagaan tidak terhenti setakat itu apabila beliau menggunakan dana yang diberikan untuk menghadiri kelas dan seminar. Tunjuk ajar daripada mentor banyak membantu dalam mengenal potensi diri dan perniagaan.

Perniagaan biskut sentiasa relevan dan mendapat permintaan konsisten sepanjang tahun terutama pada musim perayaan. Pada peringkat awal, penghasilan biskut dibuat dalam skala yang kecil memandangkan jenama Kapit Kukiss masih belum dikenali.

“Saya ada ramai rakan bekerja sebagai guru yang mana saya buat promosi sampel percuma dan pergi ke sekolah-sekolah. Dari situ mereka akan mencadangkan pula kepada guru-guru lain.

“Selain itu, saya juga menggunakan platform media sosial seperti Instagram, Facebook serta ejen untuk pemasaran dan jualan. Saya ikut nasihat mereka dan nampak perubahan positif seperti jenama lebih dikenali, pasaran lebih luas dan permintaan meningkat,” ujar­nya.

Selepas jenama Kapit Kukiss dikenali, Faizzul Hakim sema­kin berani menghasilkan biskut secara besar-besaran.

Mengenai perancangan masa depan, Faizzul Hakim sedang berusaha mendapatkan sijil halal bagi membolehkan Kapit Kukiss menembusi pasaran le­bih besar seperti pasar raya dan eksport.

“Setakat ini, kami mendapat pertanyaan dan permintaan dari Singapura, Brunei dan Thailand. Saya juga membuka ruang kepada sesiapa yang mahu menghasilkan jenama biskut sendiri melalui konsep pengeluar produk tulen (OEM),” katanya.

Kapit Kukiss kini mempunyai dua hab biskut di Seri Kem­bangan dan Setapak selain ­beberapa bazar di pusat beli-belah sekitar Lembah Klang.

l Pernah membuka tadika, francais kebab

l Berniaga kerana mahukan masa sendiri

l Mendapat pertanyaan dari Singapura, Brunei 
dan Thailand

l Memiliki dua hab biskut di Seri Kembangan dan Setapak

l Mahu tembusi pasar raya dan pasaran eksport

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini