ALOR SETAR – Kedah memperoleh tonik berharga menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Perak pada 27 Julai depan apabila terlebih dahulu berjaya menundukkan pasukan sama dengan jaringan 4-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman di sini, malam ini.
Kemenangan berharga itu menyaksikan Kedah melonjak di kedudukan ketiga Liga Super dengan 34 mata daripada 21 perlawanan selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini di Darul Aman.
Beraksi di hadapan kira-kira 5,000 penyokong, Perak bagaimanapun berjaya menguasai perlawanan pada 20 minit awal apabila mempunyai beberapa peluang namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan Kedah.
Perak yang masih segar dengan kemenangan 3-2 menentang Selangor Rabu lalu berjaya mendahui Kedah menerusi jaringan ketua pasukan, Shahrul Mohd. Saad yang berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru Brendan Gan pada minit ke-29 yang sama sekali gagal diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah, Abdul Hadi Abdul Hamid.
Tersentak dengan jaringan itu, Kedah mula memperkemaskan rentak permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Perak dan hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan Fernando Rodriguez pada minit ke-32, namun bola hanya melintasi sebelah kanan pintu gol Perak meskipun penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim sudah pun tertewas.
Kedah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila hantaran cantik Rodriguez di kawasan sebelah kiri padang berjaya disempurnakan oleh N. Thanabalan pada minit ke-40.
Sebelum menutup babak pertama perlawanan, Kedah sekali lagi berada di depan apabila tandukan kencang Renan Alves hasil sepakan penjuru pada minit ke-45 sama sekali gagal diselamatkan oleh Muhammad Hafizul. Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga berakhirnya separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua perlawanan, Perak hampir menyamakan kedudukan namun sepakan percuma Ronaldo Henrique pada minit ke-50 berjaya ditepis keluar oleh Abdul Hadi.
Usaha berterusan Perak itu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Ronaldo pada minit ke-79.
Ketika perlawanan memasuki minit-minit terakhir,
Kedah sekali lagi mendahului menerusi jaringan Fernando Rodriguez pada minit ke-89.
Kedah menutup perlawanan dengan penuh gemilang apabila Fernando Rodriguez menjaringkan gol keempat menerusi rembatan kencang kaki kiri di luar kotak penalti pada minit ke-94.- UTUSAN ONLINE











