KRM bida tuan rumah Piala Dunia Ragbi 7 Sebelah - Utusan Malaysia

KRM bida tuan rumah Piala Dunia Ragbi 7 Sebelah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan mengemukakan bidaan secara rasmi bagi penganjuran Piala Dunia Ragbi Tujuh Sebelah (Sevens) edisi 2022, pada Selasa depan.

SHAHRUL ZAMAN YAHYA

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, perkara itu sudah mendapat persetujuan secara lisan daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebelum Majlis Ragbi Dunia membuat keputusan berhubung pemilihan tuan rumah kejohanan itu pada 29 Oktober ini di Tokyo.

Memuatkan artikel berkaitan…

“KRM cuba untuk turut serta dalam bidaan tersebut dan mahu belajar daripada proses itu. Jika kita gagal dalam bidaan itu, sekurang-kurangnya kita sudah mulakan satu proses dan belajar bagaimana untuk membida kejohanan ragbi bertaraf dunia,” katanya selepas sesi pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KRM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di sini, hari ini.

Sebelum ini, KRM telah menyatakan hasrat untuk membida kejohanan berkenaan, dalam usaha membentuk skuad ‘bunga raya’ layak beraksi pada Piala Dunia Ragbi 2031 yang melibatkan saingan 15 sebelah.

Piala Dunia ‘Sevens’ 2022 dijadual berlangsung pada September atau Oktober 2022 dan sehingga kini 11 negara iaitu Argentina, Cayman Islands, Perancis, Jerman, India, Jamaica, Qatar, Scotland, Afrika Selatan, Tunisia dan Malaysia menunjukkan minat untuk membida menjadi tuan rumah.

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, KRM berhasrat membentuk pasukan ragbi Malaysia bertaraf dunia dalam tempoh 12 tahun dari sekarang, bagi memastikan impian negara untuk layak ke Piala Dunia Ragbi 2031 tercapai.

Dalam perkembangan lain, Shahrul Zaman yang dipilih untuk terus menerajui badan induk itu bagi penggal 2019-2022 berkata, proses pemilihan berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.

Beliau mengakui banyak perkara perlu dilakukan bagi mengukuhkan lagi badan induk tersebut. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini