IPOH – Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei gagal menjelmakan rentak sempurna untuk menyamai catatan terbaik peribadi apabila sekadar melakukan lompatan 2.22 meter (m) untuk meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2019 di Stadium Perak di sini, hari ini.
Misi untuk melepasi ketinggian 2.30m jika mahu layak ke Kejohanan Dunia 2019 di Doha, Qatar, September ini tidak kesampaian apabila atlet veteran itu memberi alasan keletihan menunggu giliran melakukan lompatan menjadi punca kegagalan mencapai misi tersebut.
Dia mengakui gagal mencatat lompatan yang memuaskan kerana penat menunggu setelah gilirannya tiba 90 minit selepas acara akhir lompat tinggi bermula pukul 8 pagi.
Katanya, semua atlet bertanding berkumpul di Stadium Perak di sini seawal pukul 7 pagi, walaupun peringkat akhir acara lompat tinggi hanya bermula 8 pagi.
“Pukul 9.30 baru tiba giliran saya, dan ini agak memenatkan sehingga gagal catat lompatan memuaskan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Hup Wei, 32, mengakui walaupun merangkul pingat emas, namun dia tidak berpuas hati dengan prestasi tersebut kerana misinya adalah rekod peribadi baharu iaitu menyamai rekod kebangsaan 2.30m milik Nauraj Singh, bagi melayakkannya ke Kejohanan Terbuka Uzbekistan, bulan depan.
Hup Wei, pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan bekas pemegang rekod kebangsaan, memiliki pencapaian peribadi terbaik iaitu 2.28m ketika beraksi pada Kejohanan Balapan dan padang AACT di Canberra, Australia, tahun lalu.
Pingat perak milik Prakash Krishnan dari pasukan Bebas dengan lompatan setinggi 2.10m, manakala gangsa diraih seorang lagi atlet lompat tinggi negara, Norshafiee Mohd Shah hasil lompatan setinggi 1.95m.
Sementara itu, atlet jalan kaki wanita negara, Elena Goh merangkul pingat emas pada acara 5,000 meter dengan catatan masa 27 minit 23.46 saat dengan cabaran sengit daripada pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Koong Jia Lin yang ketinggalan 30 saat di belakang.
Elena, pemenang emas 10 kilometer (km) Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, menganggap kejohanan kali ini sebagai latihan bagi memperbaiki catatan masa dalam misi melayakkan diri ke Sukan SEA Filipina 2019, November ini.
“Kalau diberi peluang saya ingin ke China pada September depan untuk menyertai acara 20km bagi melayakkan diri ke Sukan SEA.
“Saya perlu mencapai catatan satu jam 48 minit bagi acara 20km, dan diharapkan Persekutuan Olahraga Malaysia memberi peluang kepada saya kerana tiada acara 20km dalam negara…jadi saya perlu ke luar negara untuk melayakkan diri,” kata atlet berusia 23 tahun itu.
Dalam pada itu, atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noor Amelia Musa, merangkul pingat emas dalam acara 5,000m dengan melakar catatan masa peribadi terbaik 18 minit 31.05 saat iaitu 15 saat lebih baik daripada pencapaiannya pada Kejohanan Terbuka Melaka, minggu lalu.
Noor Amelia, 33, ibu kepada seorang anak itu menewaskan A. Manissha dari Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor yang mencatat masa 20:09.76s serta rakan sepasukan Nur Syahipah Rozaki mendapat gangsa.
Noor Amelia, yang berkhidmat di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur berkata, dia akan terus memperbaiki catatan masa dalam beberapa kejohanan dalam negara dan The World Police and Fire Games 2019 di China, bulan depan, bagi membolehkannya tersenarai dalam skuad Sukan SEA. – BERNAMA











