Jokowi, Prabowo berdamai - Utusan Malaysia

Jokowi, Prabowo berdamai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) bertemu bekas calon pencabarnya, Prabowo Subianto semalam di sebuah stesen transit aliran massa (MRT) di Lebak Bulus, selatan Jakarta, pertemuan pertama kedua-dua individu selepas pilihan raya presiden 2019 pada April lalu yang dicemari insiden rusuhan yang menyebabkan beberapa individu maut.

Pertemuan itu berlangsung selepas Prabowo kalah dalam satu kes mencabar kemenangan Jokowi di Mahkamah Perlembagaan kira-kira dua minggu. Kedua-dua ahli politik itu bersalaman dan berdamai.

Semalam, bekas jeneral dan pemimpin negara yang dipilih semula itu menaiki perkhidmatan MRT pertama Indonesia yang memulakan operasi sejak Mac lalu. Mereka turut mengadakan perbinca­ngan tertutup di dalam salah sebuah gerabak tren, menurut akhbar Jakarta Post.

Memuatkan artikel berkaitan…

Orang ramai yang menyaksikan pertemuan itu menjerit ‘kami sayang kamu’ sebaik sahaja Jokowi dan Prabowo me­langkah keluar dari tren pada pukul 10.50 pagi (waktu tempatan) di stesen Senayan.

“Ada orang bertanya mengapa Prabowo tidak mengucapkan tahniah kepada Jokowi. Saya ada adab dan mahu mengucapkan tahniah secara bersemuka dengannya (Jokowi),” kata Prabowo semasa berdiri di sebelah Presiden Indonesia itu.

“Menjadi seorang presiden adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, masalah yang bakal dihadapinya adalah besar dan saya sedia membantu,” tambahnya.

Jokowi menyatakan beliau memulakan satu mesyuarat dengan pencabar jawatan presidennya dalam tren MRT kerana tahu Prabowo belum pernah menaiki sistem pengangkutan awam baharu itu.

“Saya bersyukur dengan rancangan pertemuan ini yang membolehkan saya bertemu Prabowo Subianto. Saya harap penyokong-penyokong kami akan mengikut jejak sama kerana kami semua adalah rakyat senegara,” kata pemimpin berusia 58 tahun itu.

“Mari kita bersatu sebagai sebuah negara kerana saingan global semakin sengit dan kita perlu bersatu untuk membangunkan negara,” tambahnya.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) me­ngumumkan Jokowi memenangi jawatan presiden Indonesia bagi penggal kedua. Jokowi meraih 55.5 peratus atau 85 juta undi sekali gus menewaskan pencabar­nya, Prabowo dengan hanya 44.5 peratus atau 68 juta undi.

Pada bulan Mei lalu, satu bantahan aman terhadap keputusan rasmi oleh penyokong-penyokong Prabowo bertukar ganas semalam dua malam dengan pertempuran di jalan-jalan raya antara perusuh dan polis.

Seramai sembilan orang terbunuh manakala beratus-ratus lagi cedera dalam insiden itu di Jakarta.

Prabowo turut mendakwa beliau memenangi saingan jawatan presiden beberapa kali sebelum KPU mengumumkan keputusannya. Beliau turut memfailkan satu kes mencabar keputusan akhir kemena­ngan Jokowi di Mahkamah Perlembagaan. – AFP/Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini