TFC tetap puas hati walaupun sekadar seri - Utusan Malaysia

TFC tetap puas hati walaupun sekadar seri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Biarpun sekadar seri 1-1 berdepan Pahang dalam aksi Liga Super, semalam keputusan itu ternyata memberi kepuasan kepada penolong ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik, terutama dari segi corak permainan anak buahnya.

Mohamad menyifatkan prestasi pemainnya berada pada tahap terbaik, memandangkan Pahang bukan calang-calang pasukan dan berada di kedudukan kedua carta liga.

Beliau berkata, kesungguhan anak buahnya memberi tentangan hebat terhadap skuad Tok Gajah wajar diberi pujian lebih-lebih lagi apabila berjaya ‘mengunci’ gerakan pemain lawan daripada mendapat sepakan percuma yang mengundang padah seperti ketika perlawanan menentang Kedah, Selasa lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang ada sedikit kelemahan di bahagian pertahanan sehingga membolehkan Pahang mendapat gol penyamaan pada minit ke-50.

“Tetapi secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan keputusan seri kerana tiga pasukan terakhir yang menjadi lawan kita iaitu Kedah, Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) berada di kelompok empat teratas,” katanya selepas perlawanan menentang Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, semalam.

Mengenai pertemuan berdepan juara liga, JDT pada perlawanan terakhir Liga Super 2019, 19 Julai ini, beliau optimis pemain TFC mampu menyerap tekanan dan mencatat keputusan positif, sekali gus memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Selepas mengharungi 21 perlawanan dengan berbaki satu aksi liga, TFC berada di kedudukan ketujuh selepas mengumpul 29 mata.

Sementara itu, penolong jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi yakin pasukannya akan kekal berada dalam kelompok tiga pasukan teratas liga musim ini.

Berbaki dua perlawanan liga menentang Felda United dan Melaka, kedua-duanya di Stadium Darul Makmur, Kuantan, beliau yakin Pahang mampu meraih sekurang-kurangnya satu mata bagi mengesahkan kedudukan sebagai naib juara liga, sekali gus memperbaiki rekod pasukan di tempat keempat, musim lalu.

“Kita akan pastikan pemain tidak melepaskan peluang dan cuba sehabis mungkin untuk memenangi dua perlawanan itu. Kita memiliki kelebihan bermain di laman sendiri dan sudah pasti kita akan guna kesempatan ini untuk kutip seberapa banyak mata,” katanya.

Pahang kini menduduki tempat kedua liga di belakang JDT, selepas mengutip 37 mata daripada 20 perlawanan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini