KANGAR – Skuad hoki Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) tidak berdepan masalah besar untuk melangkah ke saingan akhir Liga Hoki Piala Ketua Polis Negara-TNB 2019 esok selepas meraih kemenangan besar di peringkat separuh akhir, hari ini.
Dalam perlawanan separuh akhir, Pulapol meraih kemenangan 4-1 menewaskan pencabar utama mereka, Bukit Aman sekali gus menepati ramalan melangkah ke saingan akhir.
Ketua jurulatih Pulapol, Zulkifli Omar mengakui amat gembira dan bersyukur apabila pasukannya sekali lagi berjaya ke final tahun ini.
“Seperti yang semua tahu permusuhan antara Bukit Aman dan Pulapol memang sesuatu yang dinantikan penyokong dan pemain.
“Meskipun sudah melangkah ke pentas final kami perlu memberi aksi lebih baik,” katanya.
Dalam perlawanan hari ini, gol pertama skuad Pulapol hadir seawal minit keenam menerusi penyerang utamanya, Dick Chenny hasil jaringan padang.
Bagaimanapun, Bukit Aman berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-10 menerusi pukulan sudut penalti oleh Marxhans Christi.
Kedudukan seri itu tidak kekal lama apabila Bukit Aman terpaksa akur dengan kekuatan dimiliki Pulapol yang dibarisi beberapa bekas pemain kebangsaan apabila menyaksikan mereka menyumbat tiga lagi gol menerusi pukulan sudut penalti Baljit Singh minit ke-19, 38 dan 50.
Sementara itu, bekas pemain kebangsaan yang juga pemain tengah Pulapol, M. Jivan berkata, kemenangan itu menunjukkan pasukan diwakilinya berada di tahap prestasi terbaik.
“Bukan mahu mendabik dada, tetapi permainan pasukan kami hari ini amat memberansangkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











