KUALA LUMPUR 13 Julai – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu mengadakan perbincangan dengan guru bagi menambah bilangan modal atau saham untuk koperasi sekolah.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha tersebut penting bagi mencapai sasaran 2,400 koperasi sekolah memperoleh pendapatan RM1 bilion menjelang 2025.
Katanya, menerusi sumbangan modal dan saham yang lebih besar, banyak aktiviti perniagaan yang dapat dikembangkan dan diceburi koperasi sekolah, sekaligus merealisasikan sasaran berkenaan.
“Ini secara tidak langsung akan menyumbang perolehan yang lebih tinggi kepada koperasi sekolah.
“Banyak aktiviti yang dijalankan oleh sekolah seperti Hari Guru, Hari Kecemerlangan malah keceriaan kawasan sekolah mendapat tajaan dari koperasi. Oleh itu adalah penting perniagaan koperasi sekolah dikembangkan dan diperkasa supaya dapat memberi manfaat kepada warganya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











