KUALA LUMPUR – Seramai 99 ahli Pengakap dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima sijil Anugerah Pengakap Raja di Akademi Kenegaraan di sini, hari ini.
Anugerah tertinggi dalam pergerakan Pengakap itu diserahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pada Majlis Penyampaian Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019.
Khalid berkata, ini merupakan suatu pencapaian individu luar biasa, yang bukan sahaja diiktiraf di peringkat negara bahkan diperakui di seluruh dunia.
“Sehubungan itu, semua ahli perlu berusaha untuk berjaya dalam hidup dan meletakkan diri sebaris dengan nama-nama seperti Neil Armstrong, Steven Spielberg, Tan Sri Mustapha Kamal dan ramai lagi Pengakap Raja, Eagles Scout, Queen’s Scout dan apa saja panggilan di negara mereka,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Khalid berkata, pihaknya juga akan mencadangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memberi keutamaan kepada Pengakap di daerah-daerah untuk menggunakan semua taman-taman rekreasi di sekitar Kuala Lumpur untuk kegiatan mereka.
Yang turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral Profesor Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Zakran Abdul Manan.
Dalam majlis sama, seramai 34 pemimpin Pengakap yang masih dan pernah berkhidmat dalam PPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima pingat daripada PPM. – UTUSAN ONLINE











