MIRI 13 Julai – Hujan lebat memaksa operasi mencari dan menyelamat seorang pemandu pelancong tempatan yang hilang dibawa arus deras ketika hujan lebat di Gua Rusa, Taman Negara Mulu ditangguh kira-kira pukul 3.22 petang ini.
Komander Operasi yang juga Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong dalam satu kenyataan berkata, operasi mencari mangsa, Roviezal Robin, 20, merangkumi kawasan darat di pintu masuk dan dalam gua.
Mangsa dan pelancong Belanda, Peter Hans, 66, itu dilaporkan hilang kira-kira 5.50 petang semalam ketika banjir kilat di taman negara itu.
Tambah Poh Kiong, mayat pelancong itu yang ditemukan di sungai Gua Rusa kira-kira pukul 6.40 pagi tadi telah diterbangkan ke Hospital Miri.
“Mangsa telah diterbangkan menggunakan helikopter jenis Mi17 Unit Udara Bomba Miri kira-kira pukul 2.17 petang.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dibawa arus deras kepala air sungai ketika banjir kilat melanda gua berkenaan,” katanya.- BERNAMA











