SERDANG – Pembantu rumah yang didakwa dirogol majikannya yang merupakan seorang ahli exco di Perak, kini diletakkan di bawah pemeliharaan dan perlindungan sepatutnya, kata Timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
“Tidak boleh katakan dia (pembantu rumah) tidak terbela, kerana bila sahaja dia membuat laporan polis, terus polis mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum ‘Keibubapaan Kreatif Mendepani Cabaran Alaf Baru’ sempena Sambutan Hari Ibu Bapa peringkat Kebangsaan 2019 di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dilapor berkata, Exco berkenaan yang ditahan atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.
Beliau berkata, Exco berkenaan turut menjalani pemeriksaan doktor bagi tujuan siasatan.
Pada 8 Julai lalu, polis Perak menerima satu laporan daripada seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun, mendakwa dia dirogol oleh majikannya yang juga seorang Exco kerajaan negeri Perak di rumahnya di Meru, Ipoh. – Bernama











