KUALA LUMPUR 13 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat membabitkan 20 pegawai kanannya berkuat kuasa 13 Ogos depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran membabitkan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 2 Bukit Aman, Datuk Rosly Abas yang akan memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 Bukit Aman.
“Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri akan menjadi Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner.
“Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd. Jalil Hasan akan dinaikkan pangkat menjadi Ketua Polis Pahang dengan memangku pangkat Komisioner dan jawatan lamanya akan diganti Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim dengan memangku pangkat Deputi Komisioner,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Asmawati, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali akan dinaikkan pangkat ke Deputi Komisioner dengan memegang jawatan sama.
Jelasnya, Ketua Cawangan Agensi Penguatkuasaan (Bahagian Perisikan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya akan ditukar ke Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
“Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah pula akan memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Kelantan manakala Senior Asisten Komisioner dan Penolong Pengarah Pengurusan (Petandbiran/Belanjawan), Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukti Aman, Asisten Komisioner Che Zakaria Othman akan memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembulan dengan kedua-duanya memangku pangkat Senior Asisten Kimisioner,” ujarnya.
Asmawati memberitahu, Timbalan Komander Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam, Kinarut, Sabah, Asisten Komisioner Mancha Anak Ata akan dinaik pangkat dengan memegang jawatan Komander dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Ujarnya, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid akan memegang jawatan Ketua Urus Setia Pejabat KPN (Pentadbiran), Urus Setia Pejabat KPN Bukit Aman manakala Timbalan Ketua Cawangan Agensi Penguatkuasaan, Bahagian Perisikan SPRM Putrajaya, Asisten Komisioner Zainudn Ahmad akan menjadi Ketua Cawangan dan kedua-dua akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Sehubungan itu, senarai penuh pertukaran dan kenaikan pangkat pegawai-pegawai terbabit boleh dilayari menerusi laman Facebook Rasmi PDRM. – UTUSAN ONLINE











