Budak nyaris lemas main tepi kolam  - Utusan Malaysia

Budak nyaris lemas main tepi kolam 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun 10 bulan hampir lemas dipercayai ketika bermain berdekatan kolam renang di sebuah kondominium di Presint 8 di sini semalam.

 

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa yang dalam jagaan sebuah taska di dalam kondominium itu dipercayai pergi ke kolam renang tanpa pengetahuan pihak penjaga taska.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, pada masa kejadian, pihak taska mengadakan satu program bermain di sebuah taman permainan berdekatan kolam renang yang terletak di luar premis taska terbabit dengan lima orang penjaga berada di kawasan itu.

“Pengawal keselamatan kondominium terbabit ternampak mangsa dalam keadaan terapung di dalam kolam renang itu sebelum berjaya diselamatkan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya dan diberi rawatan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, Rosly berkata, kanak-kanak terbabit kini dalam pemantauan di unit rawatan rapi pediatrik HKL.

“Setakat ini keadaan mangsa stabil namun doktor belum memaklumkan bila mangsa boleh pulang ke rumah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rosly berkata, hasil temu bual didapati kanak-kanak terbabit dihantar ke taska berkenaan sejak berusia tiga bulan dan tiada masalah di pusat jagaan itu kerana mereka menjaganya dengan baik.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini