KEMAMAN 13 Julai – Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman yang baharu menggantikan Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkuat kuasa semalam.
Mohd. Haki, 48, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman.
Pelantikan beliau bagi menggantikan Mohd. Said yang menggalas tugas baharu sebagai Ketua Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan dengan memangku pangkat Asisten Komisioner (ACP).
Majlis serah terima tugas itu yang berlangsung di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman semalam turut disaksikan oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.
Mohd. Haki berpengalaman luas dalam bidang kepolisan sejak menyertai pasukan polis pada 1 November 1993. Bermula dengan pangkat Inspektor Percubaan sebagai pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Rembau, Negeri Sembilan pada tahun 1994.
Menjadi Ketua Balai Polis Rembau selama dua tahun pada tahun 1997 hingga 1999 dengan pangkat Inspektor sebelum ditukar sebagai pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dungun dengan pangkat Ketua Inspektor pada tahun 1999 hingga 2004.
Mohd. Haki sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai Ketua Balai Polis Paka pada tahun 2004 hingga 2007 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Asisten Superintenden dengan menjawat jawatan Ketua Bahagian Pengurusan IPD Besut pada tahun 2007 hingga 2011.
Menjawat jawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hulu Terengganu selama lima tahun dari tahun 2011 hingga 2016 sebelum dinaikkan pangkat kepada Deputi Superintenden sebagai Pegawai Turus Perlesenan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Mohd. Haki mengambil alih tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman daripada Superintenden Baharuddin Abdullah yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Dungun Mac tahun lalu. – UTUSAN ONLINE











