Suspek bunuh 2 warga emas diberkas, tiada motif perkauman - Utusan Malaysia

Suspek bunuh 2 warga emas diberkas, tiada motif perkauman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT 13 Julai – Seorang penoreh getah yang membunuh dua warga emas di Buloh Kasap semalam dipercayai mengalami gangguan halusinasi sebelum suspek bertindak mengamuk dan membunuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superitenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki berusia 33 tahun itu tidak mempunyai masalah peribadi dengan kedua-dua mangsa sehingga mendorongnya untuk membunuh.

“Berdasarkan keterangan saksi, suspek yang memarkir motosikal jenis Honda Wave di pekarangan sebuah kopitiam di Buloh Kasap di sini telah melulu ke arah kedai dan memecahkan peralatan mengukus pau sambil bertindak melibaskan parang sepanjang 45 sentimeter.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Melihatkan kejadian itu, semua pelanggan di kedai kopi terbabit telah berpusu-pusu masuk ke dalam, namun senjata suspek mengenai tubuh seorang warga emas berusia 74 tahun.

“Akibat libasan rambang, mangsa pertama cedera ditetak di pipi kiri hingga ke kepala, satu tikaman di dada dan luka di jari kiri. Mangsa dikenali sebagai Ku Cheng Liong disahkan maut di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini sebentar tadi.

Menurut Noor Ariffin, suspek kemudian menuju ke sebuah kedai menjual durian terletak kira-kira 200 meter dari lokasi pertama dan menyerang peniaga berusia 60 tahun pula.

“Suspek hanya menikam dada mangsa kedua sebelum polis berjaya memberkasnya. Mangsa, Ng Wan Hong bagaimanapun maut ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Buloh Kasap.

“Pemeriksaan lanjut di beg sandang yang dibawa suspek menemui sebilah lagi parang sepanjang 43 sentimeter,” ujarnya.

Siasatan terperinci masih dijalankan katanya, namun polis menolak motif dendam dan perkauman menjadi faktor suspek membunuh dua orang awam berkenaan.

Katanya, semakan mendapati suspek juga tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencing adalah negatif.

Noor Ariffin dalam pada itu memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini