PASIR MAS 13 Julai – Agenda penyatuan ummah bukan untuk kepentingan parti sama ada UMNO atau Pas tetapi demi mempertahankan agama Islam dan hak orang Melayu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang keraguan mengenainya mesti segera dibuang lebih-lebih lagi pada saat parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri bergelut dengan masalah dalaman masing-masing.
“Saya harap kalau ada lagi ahli yang tidak bersetuju dengan penyatuan ummah, sama ada dalam Pas atau UMNO yang masih lagi meragui perlunya kita bersatu saya harap lupakanlah pandangan peribadi anda itu.
“UMNO dan Pas perlu menolak kepentingan parti masing-masing kerana perjuangan kita adalah agama Islam dan bangsa Melayu, bukan soal peribadi,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di Dewan Apam Putra di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Akbar Salim.
Majlis perasmian itu turut dihadiri tetamu khas, Timbalan Yang Dipertua Pas Rantau Panjang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok, Mohamad Awang bersama rombongannya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menasihatkan ahli supaya melupakan sebarang sengketa, jika masih ada, kesan daripada proses pemilihan tahun lalu.
Beliau berkata, jika agenda lebih besar iaitu penyatuan dengan Pas boleh dilakukan selepas puluhan tahun bermusuh maka tiada sebab ahli UMNO sesama sendiri tidak boleh bersatu.
“Kita kena ambil kesempatan ini kerana hampir setiap parti dalam PH mempunyai masalah dalaman mereka, jadi dalam keadaan mereka berpecah kita mesti bersatu.
“Kita juga mesti tunjukkan kepada rakan kita Pas bahawa kita tidak ada masalah dalaman.
“Pas telah buktikan mereka tidak punyai masalah dalaman parti malah dalam pemilihan pucuk pimpinan semuanya menang tanpa bertanding menunjukkan betapa bersatunya mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











