MUAR 13 Julai – Satu kejadian kebocoran bahan kimia jenis sodium florida dilaporkan berlaku di sebuah kilang di kawasan perindustrian Tanjung Agas, di sini awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Rafiah Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pukul 10.54 pagi sebelum menggerakkan lapan anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan BBP Muar di tempat kejadian, didapati ada berlaku kebocoran bahan kimia jenis Sodium Flourite di kilang tersebut.
“Daripada empat tong yang diperiksa, tiga daripadanya terdapat kebocoran. Kejadian yang berlaku ini tdak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafiah berkata, pihak bomba masih berada di lokasi dan menunggu pihak kontraktor berlesen untuk membawa bahan tersebut untuk dilupuskan kerana bahan tersebut ada sisa yang telah digunakan. – UTUSAN ONLINE











