GEORGETOWN 13 Julai – Rakyat Pulau Pinang dinasihatkan untuk mengemukakan sesuatu permasalahan atau perkara yang memerlukan penjelasan menerusi saluran yang betul dan mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas berkata ia bagi membolehkan setiap rintihan dan masalah yang dihadapi rakyat itu dibincang dan diselesaikan secara berhemah dan penuh diplomasi.
“Sekiranya terdapat sesuatu perkara yang meragukan dan memerlukan penjelasan, permasalahan atau rintihan tersebut perlulah disalurkan berlandaskan saluran-saluran yang telah disediakan dan mengikut undang-undang bagi membolehkan ia dibincangkan serta diselesaikan secara berhemah serta penuh diplomasi,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Ulang Tahun ke-81 beliau di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus serta barisan exco kerajaan negeri.
Abdul Rahman berkata, sehubungan itu, wakil rakyat, pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan, pegawai daerah, penghulu serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung yang bertindak sebagai pemimpin di akar umbi berperanan menyampaikan segala permasalahan rakyat kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Melalui kaedah ini, usaha mengatasi masalah tersebut dapat ditangani segera,” katanya.
Selain itu, beliau mengingatkan supaya media sosial digunakan dengan bijak dan bukan hanya memaparkan perkara negatif sehingga boleh mencemarkan imej negeri dan seterusnya memberi kesan negatif kepada pembangunan negeri.
Abdul Rahman turut mengingatkan rakyat Pulau Pinang mengamalkan budaya berjimat cermat serta berusaha menambah sumber pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menyarankan kerajaan negeri agar mengambil langkah-langkah awalan bagi memastikan pencemaran alam sekitar terutama di kawasan perindustrian tidak berlaku di negeri ini dan undang-undang dan peraturan sedia ada dikuatkuasakan sewajarnya.
Seramai 170 individu menerima pingat dan darjah kebesaran masing-masing termasuk Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada hari pertama penganugerahan itu.
Selain itu, dua penerima dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Panglima Tentera Udara Jeneral, Tan Sri Affendi Buang. – BERNAMA











