MADRID – Enrique Cerezo mendakwa Atletico Madrid memiliki bukti Barcelona bersetuju dengan segala terma untuk mendapatkan Antoine Griezmann sebelum klausa perpindahan pemain itu turun kepada 120 juta euro (RM493.56 juta).
Barcelona mengesahkan mereka menandatangani kontrak selama lima tahun untuk Griezmann selepas menghidupkan klausa pelepasan pemain itu di ibu pejabat La Liga di Madrid.
Bagaimanapun, Atletico percaya bahawa bintang Perancis itu sudah bersetuju lebih awal dengan tawaran Barcelona sebelum nilai klausa perpindahannya itu diturunkan daripada 200 juta euro (RM822.61 juta) pada 1 Julai lalu.
Presiden kelab, Cerezo berkata, mereka memiliki bukti yang mencukupi dan bercadang untuk menuntut bayaran yang lebih besar.
“Jika kelab sudah mengeluarkan kenyataan, ia bermaksud segala bukti sudah tersedia.
“Kami sudah menjalankan kajian dan kami akan menuntut jumlah yang lebih besar yang dilihat sebagai berpatutan, ” katanya.
Barcelona yang dijadual memperkenalkan Griezmann dia Camp Nou, esok masih belum memberikan sebarang maklum balas berhubung dakwaan itu.
Cerezo juga berang dengan sikap Griezmann yang terburu-buru memberikan kenyataan bahawa dia akan meninggalkan Atletico pada Mei lalu.
“Saya kecewa dengan sikapnya. Dia mahu berhijrah tetapi hanya memberitahu kami pada saat-saat akhir,” katanya. – AGENSI











