UTUSAN: Pada peringkat ini, majoriti peneroka menolak rancangan cantuman tanah. Mengapa?
AMIZAR: Peneroka terkesan dengan apa yang berlaku kepada Felda Global Venture (FGV) hari ini dan ini sangat membimbangkan mereka. Justeru, peneroka risau dan tidak yakin dengan kaedah ini memandangkan majoritinya sudah mempunyai hak ke atas tanah. Peneroka bukan keberatan menerima cadangan memulihkan Felda tetapi lebih baik penstrukturan semula dibuat memandangkan sistem dahulu pernah menjadikan Felda yang terbaik. Apa yang peneroka inginkan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilaksanakan Felda dan kerajaan termasuklah beberapa isu penting seperti penyata hutang dan masalah pengurusan ladang.
Berita berkaitan:
Rancangan ini adalah langkah ke depan untuk meningkatkan pendapatan peneroka namun mengapa sambutannya negatif?
Seperti dinyatakan, peneroka ingin melihat bagaimana Felda dan kerajaan mengurus permasalahan sedia ada dan penambahbaikan yang dibuat adalah untuk menuju ke arah memperkasakan Felda, komuniti dan pengeluaran hasil serta pendapatan hasil peneroka bukan melaksanakan perkara yang difikirkan merugikan peneroka kelak.
Apakah peneroka keberatan mempelbagaikan guna tanah dengan tanaman yang mampu memberi hasil tuaian dalam tempoh singkat atau apakah isu utamanya?
Peneroka dan generasi kedua tidak keberatan. Sekarang pun ada beberapa projek dan tanaman diusahakan (selain sawit) yang memberi hasil baik. Saya yakin mereka sangat mengalu-alukan langkah meningkatkan pendapatan. Namun harus diingatkan, sumber utama pendapatan mereka sejak dahulu adalah sawit dan getah. Mempelbagaikan tanaman pada mereka adalah sumber pendapatan kedua, pendek kata harga komuniti getah dan kelapa sawit perlulah sentiasa dijaga rapi oleh Felda dan kerajaan.
Sebenarnya, apa yang dimahukan peneroka dalam keadaan sekarang?
Pastinya mereka mahukan pendapatan yang baik, ladang diuruskan dengan baik, berada dalam komuniti yang baik dan teratur seperti sebelum ini serta masalah terdahulu diselesaikan kerajaan seperti yang dijanjikan. Mereka sudah terbiasa dengan pelbagai keistimewaan di Felda, namun bukan itu yang mereka mahukan. Peneroka mahu perancangan serta pelan pemulihan atau mengembalikan sistem Felda yang lebih efisien melalui penstrukturan semula pengurusan dan anak-anak syarikat Felda serta syarikat yang berkaitan untuk kembali berada pada landasan positif.
Apakah kesannya sekiranya kerajaan tetap mahu melaksanakan cadangan ini?
Agak sulit serta memerlukan masa dan kajian amat teliti kerana pelaksanaannya akan mendatangkan kemarahan kepada peneroka apabila melibatkan soal tanah. Selain sulit mendapat persetujuan peneroka, kita juga bakal berdepan tentangan daripada generasi baharu Felda sebagai pewaris yang rata-rata sudah mengambil alih pengurusan ladang keluarga secara individu dan telah menjalankan sistem perladangan yang moden. Bagi peneroka yang telah menjalankan pengurusan ladang yang sifar hutang dan mengurus ladang mereka juga akan mendapat kesan yang tidak baik memandangkan mereka telah berjaya di dalam pengurusan mereka. Kesan kepada Felda pula kepercayaan peneroka semakin terhakis jika keputusan yang dibuat tidak menyebelahi peneroka dan akan mengakibatkan ketidakserasian yang baik, maka hasilnya pasti tidak memuaskan.











