KUALA LUMPUR 12 Julai – Penurunan terhadap pertumbuhan, ketidakpastian dasar global yang semakin meningkat, kemerosotan ketidaktentuan pasaran merupakan antara risiko utama kesan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.
Maybank Investment Bank Research dalam nota penyelidikannya berkata, walaupun ‘gencatan senjata dan perbincangan perdagangan AS-China 2.0’ susulan pertemuan Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping di Sidang Kemuncak G20 baru-baru ini, ketegangan perdagangan AS-China masih kekal dengan risiko konflik perdagangan global yang lebih luas.
“Ini menimbulkan risiko penurunan kepada prospek pertumbuhan global termasuk peningkatan risiko kemelesetan, ketidakpastian dasar ekonomi global yang semakin tinggi, seterusnya meningkatkan ketidaktentuan pasaran dalam kelas aset,” katanya.
Jelasnya, ekonomi Malaysia turut dijangka terjejas dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa perang perdagangan akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi global sebanyak -0.3 mata peratusan tahun ini dan 0.5 mata peratusan tahun depan, berbanding ramalan sebanyak 3.3 peratus untuk 2019 dan 3.6 peratus untuk 2020.
“Menurut Kementerian Kewangan, senario perang perdagangan ini juga akan menyebabkan penurunan 0.7 mata peratusan daripada pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia dalam tempoh 2018-2020.
“Bank Negara Malaysia (BNM) turut menganggarkan kesan negatifnya terhadap pertumbuhan Malaysia pada 2019 ditambah dengan tarif ke atas kenderaan dan alat ganti yang diimport yang dicadangkan AS serta impak pasaran kewangan adalah antara 1.3 mata peratusan dan 1.5 mata peratusan,” katanya.
Bloomberg turut melaporkan penguncupan yang tidak dijangka dalam ekonomi Singapura memberi amaran kepada ekonomi dunia susulan ketegangan perdagangan antara AS dan China yang meruncing sekali gus melembabkan keyakinan dan aktiviti perniagaan.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara yang bergantung kepada aktiviti eksport itu menguncup 3.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua berbanding suku sebelumnya, penurunan terbesar sejak 2012.
Penurunan itu lebih buruk daripada unjuran kenaikan 0.5 peratus dalam kaji selidik ekonomi Bloomberg serta pertumbuhan 3.8 peratus yang dicatat pada suku pertama.
Seperti keadaan ekonomi Korea Selatan yang telah menguncup pada suku pertama, Singapura sering diangkat sebagai tanda aras global berikutan kebergantungannya terhadap perdagangan asing.
Data yang dicatatkan Singapura diumumkan lebih awal daripada perangkaan perdagangan China yang dijangka diumumkan pada Jumaat dan KDNK negara tembok besar itu pula dijangka dikeluarkan pada Isnin yang berkemungkinan akan menunjukkan kelemahan ekonomi yang jelas.
“Singapura adalah negara yang sangat terbuka dan sensitif terhadap perdagangan,” kata Chua Hak Bin, seorang pakar ekonomi di Maybank Kim Eng Research Pte. Singapura.
Katanya, data menunjukkan terdapat risiko kelembapan yang mendalam untuk seluruh Asia.
Dalam pada itu, Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata, pergerakan ringgit pada minggu hadapan akan dipengaruhi oleh sentimen dalam keseluruhan aset di Asia memandangkan China akan membentangkan angka KDNK suku kedua pada Isnin.











