KAMPAR 13 Julai – Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja-kerja menggantikan tiang lampu di Kilometer 16.5, Jalan Besar Ipoh-Kampar di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.50 petang itu, Mohamad Kamil Mohamed, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena arus bervoltan tinggi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa bersama lapan rakan sekerjanya telah memulakan kerja-kerja penggantian tiang lampu di kawasan itu sejak Selasa lalu.
Katanya, kejadian menimpa mangsa itu berlaku ketika lelaki tersebut sedang memasang wayar tiang lampu di kawasan tersebut sebelum terkena arus elektrik.
“Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan empat rakan mangsa yang turut berada berhampiran tempat kejadian tidak sempat untuk menyelamatkannya.
“Pihak ambulans dari Klinik Kesihatan Malim Nawar yang dihubungi telah datang ke lokasi kejadian untuk bantuan kecemasan namun mangsa disahkan telah meninggal duni,” katanya.
Menurut Hasron Nazri, pemeriksaan fizikal ke atas lelaki tersebut tidak menjumpai sebarang unsur jenayah untuk dikaitkan dengan kematian mangsa.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan laporan bedah siasat mendapati punca kematian akibat renjatan elektrik.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.-UTUSAN ONLINE











