IPOH – Dua anggota polis cedera selepas kereta peronda polis (MPV) dinaiki mereka dirempuh sebuah lori sehingga melambung di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Perindustrian Kanthan 1 di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6.25 petang itu, tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kemalangan empat buah kenderaan termasuk dua lagi kereta lain.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kemalangan melibatkan empat kenderaan iaitu sebuah lori, MPV Proton Inspira, Proton Waja dan Perodua Axia.
“Dua anggota polis iaitu pemandu MPV berusia 33 tahun dan penumpang hadapan berumur 53 tahun mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan tersebut.
“Siasatan awal mendapati lori berkenaan sedang bergerak dari arah Chemor menghala ke Sungai Siput sebelum melanggar belakang MPV yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Mohd. Ali, rempuhan tersebut menyebabkan MPV itu terseret hingga melanggar tiang lampu isyarat dan melambung ke atas kereta Proton Waja yang turut berhenti di situ.
“Tiang lampu isyarat patah dan terjatuh di atas bahagian hadapan kereta Perodua Axia.
“Siasatan mendapati punca kejadian dipercayai berlaku kerana lori dipandu lelaki berusia 45 tahun itu hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan yang berhenti pada persimpangan lampu isyarat,” katanya.
Menurutnya lagi, pemandu lori, Proton Waja dan Perodua Axia tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu lori kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk diambil sampel darah dan ujian air kencing.
“Tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











