LONDON – Barcelona, hari ini, mengesahkan perpindahan Antoine Griezmann dari Atletico Madrid dengan nilai perpindahan sebanyak 107 juta pound (RM552 juta) selepas kelab itu melunaskan pembayaran klausa pembelian pemain tersebut.
Penyerang berusia 28 tahun itu sememangnya dijangka menyertai kelab gergasi Catalan, sejak dia membuat pengumuman akan meninggalkan Atletico, Mei lalu.
Atletico telahpun mendapat pengganti apabila membawa masuk Joao Felix dari Benfica dengan yuran perpindahan sebanyak 113 juta pound (RM583 juta) yang sekali gus seolah-olah mengesahkan khabar angin bahawa Griezmann akan meninggalkan kelab itu.
Barcelona membuat pengumuman mengenai Griezmann, hari ini, selepas mengeluarkan rakaman video pemain tersebut yang menyarung jersi Barca di samping kapsyen: “Ini yang anda nantikan.”
Griezmann akan menandatangani kontrak sehingga Jun 2024, dan dijangka memperoleh pendapatan sekitar 15 juta pound (RM77 juta) setahun, ia satu peningkatan besar berbanding gaji lamanya di Atletico. – AGENSI











