Ahli keluarga mangsa nahas pesawat Boeing 737 MAX milik Lion Air mendakwa ditipu mengenai pembayaran wang pampasan.
BBC memetik kumpulan peguam kesemua ahli keluarga berkenaan mendakwa telah dipujuk untuk menandatangani borang bagi mengelakkan mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap Boeing.
Boeing setakat ini enggan memberi sebarang kenyataan.
Kesemua 189 penumpang dan anak kapal terkorban dalam nahas pesawat Lion Air, JT10 pada 29 Oktober tahun lalu.
Dalam tempoh beberapa minggu kemudian, ahli keluarga mangsa ditawarkan pampasan oleh peguam insurans namun perlu menandatangani perjanjian yang menghalang mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap Boeing atau Lion Air.
Menurut Merdian Agustin yang kehilangan suaminya dalam nahas tersebut, peguam insurans cuba memujuknya menandatangani dokumen itu.
“Ada dinyatakan kami boleh dapat duit namun tidak boleh saman Lion Air dan Boeing.
“Kumpulan peguam itu meyakinkan saya supaya menandatangani perjanjian terbabit dan akan memperoleh duit secepat mungkin. Namun saya menolaknya kerana ini bukan soal duit, tapi soal nyawa suami saya yang terkorban,” dakwanya.
Seorang peguam yang mewakili keluarga mangsa, Sanjiv Singh berkata, mereka yang menandatangani perjanjian itu seolah-olah diberi tekanan.
Pada 3 Julai lalu, Boeing mengumumkan dana AS$100 juta (RM411 juta) untuk membantu ahli keluarga yang terlibat dalam dua nahas pesawat 737 MAX termasuk Ethiopian Airlines.
Namun, keluarga mangsa nahas pesawat Ethiopian Airlines memaklumkan tidak mendengar sebarang perkhabaran berhubung bantuan dana yang dijanjikan oleh Boeing selain menyifatkan ‘rancangan’ tersebut hanya untuk mendapatkan publisiti murahan.











