Kisah sedih kanak-kanak pintar - Utusan Malaysia

Kisah sedih kanak-kanak pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA awal 1980-an para pendidik di negara ini digemparkan oleh kemunculan Mohd. Shukri Hadafi Abdul Aziz, seorang kanak-kanak pintar dari Kuala Ketil, Kedah yang mampu membaca dan menulis ketika berusia empat tahun.

ok

Menurut Zaharah Nawawi yang menulis artikel “Ibu Tahun Ini” dalam majalah Wanita terbitan Ogos 1975 yang me­ngulas mengenai kepintaran Shukri: “Anaknya (Shukri) berjaya menjadi pandai dalam usia yang begitu muda (empat tahun) yang jarang diperoleh sebarang anak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang Shukri yang berusia empat tahun itu bukan setakat kenal alif, ba, ta. Bukan hanya kenal A, B, C. Bukan cuma kenal ‘sepah bulan’. Tapi boleh membaca apa saja, mengeja apa saja, tanpa teragak-agak dan tanpa salah dan silap”.

Ketabahan Zaharah mendidik Shukri sehingga pandai membaca dalam usia empat tahun telah menobatkan wani­ta itu sebagai “Ibu Tahun Ini” sempena Tahun Wanita Antarabangsa pada tahun 1975, bertepatan dengan Sambutan Hari Wanita Malaysia pada Ogos dan Ulang tahun ke-6 majalah Wanita.

Menurut Mohd. Hussain Ibrahim menerusi bukunya Pendidikan Pintar-Cerdas: Teori dan Pendekatan (1995), kebolehan istimewa yang dimiliki oleh Shukri ketika itu telah menarik perhatian masyarakat umum sehingga kanak-kanak tersebut diambil berlakon dalam filem Menanti Hari Esok (1977) arahan Tan Sri Jins Shamsuddin bersama bintang ternama ketika itu se­perti seniwati Sarimah dan Noor Kumalasari.

Namun begitu perhatian berlebihan yang diberikan masyarakat ketika itu bukanlah mengenai hubungan antara elemen kepintaran kanak-kanak itu dengan keperluan pendidikannya yang boleh membantu kejayaannya di masa depan.

“Yang menjadi fokus masyarakat pada masa itu ialah bagaimana ibu Shukri mengajar anaknya membaca dan menulis. Oleh itu tidak hairanlah mengapa Shukri kemudiannya tercicir daripada mendapat pendidikan yang sewajarnya” (Mohd. Hussain Ibrahim 1995: 2).

Dalam artikel yang disiar­kan oleh Mastika edisi Jun 2000 bertajuk “Maafkan Saya”, ia menelusuri kehidupan kanak-kanak pintar berkenaan yang ketika itu tinggal bersama kakaknya di Ba­ling, Kedah.

“Shukri sedar ramai orang yang ingin mengetahui perjalanan hidupnya yang suatu ketika dahulu dianggap budak paling pintar di Malaysia.

“Tapi bukanlah mudah un- tuk dia (Shukri) luahkan kera­na sejak 30 tahun lalu terlalu banyak peristiwa dilaluinya,” (Mastika Jun 2000: 6).

Shukri yang berjaya memperoleh 17 agregat dalam pe­periksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1985 seterusnya diambil oleh Profesor Diraja Ungku Aziz menjadi anak angkat supaya kecemerlangannya terus diperhebatkan.

“Tidak lama selepas akhbar keluarkan keputusan peperiksaan saya itu, saya diberitahu yang Pak Ungku dan Mak Ungku (Profesor Diraja Ungku Aziz dan Puan Azah Aziz) berminat untuk menjadi penjaga saya, menanggung pelajaran supaya kepandaian saya tidak sia-sia begitu sahaja (Mastika Jun 2000: 9).

Ungku Aziz seterusnya membawa Shukri ke Kuala Lumpur dan dimasukkan ke Sekolah Tinggi Klang (STK). Malang sungguh, tidak lama kemudian, Shukri mula han­yut, menghisap rokok dan mengabaikan pelajarannya. Suatu malam Shukri ditangkap oleh guru kerana balik lewat ke asramanya.

“Esoknya, saya dapat surat…saya dibuang dari asrama. Sejak itu Pak Ungku tak mahu jadi penjaga saya lagi. Depa (mereka) betul-betul marah dengan saya,” cerita Shukri lagi (Mastika Jun 2000: 10).

Sejak itu kehidupan Shukri menjadi lintang pukang tanpa haluan. Beberapa kali beliau ditangkap polis kerana mencuri dan membawa ganja sete­rusnya dipenjarakan.

“Pada 1998 saya dipenjara setahun kerana mencuri di Sungai Bakap, Pulau Pinang. Tahun 1995, saya kena penjara setahun lagi kerana membawa enam peket ganja.

“Pada 1998 saya ditangkap pula di Kuala Ketil juga semasa bawa ganja. Hakim jatuhkan hukuman denda RM600 atau tiga bulan penjara. Saya pilih penjara. Duit takdak (tak ada),” luah Shukri (Mastika Jun 2000: 11).

Melalui wawancara itu juga Shukri tidak mahu masyarakat memandang serong terhadapnya sebagai bekas banduan dan beliau insaf kerana me­lakukan banyak kesilapan dalam hidupnya sehingga mengecewakan ramai orang yang membantunya termasuk Ung­ku Aziz dan Puan Azah Aziz sehingga gagal mencapai ‘bintang’.

Syarifah Norul Akmar (1990) dalam kertas kerja bertajuk “Permasalahan serta isu-isu da­lam pendidikan pintar-cerdas di Malaysia masa kini” pada Seminar Pendidikan Pelajar Pintar-Cerdas, Institut Ilmu-Ilmu Islam, Kajang Se­langor turut menyentuh kisah sedih Shukri.

“Kita masih mengingati kisah sedih Shukri yang pada suatu ketika dahulu boleh di­golongkan sebagai kanak-kanak pintar-cerdas. Kecerdasan Shukri malangnya tidak dipupuk serta diberikan perhatian yang sewajarnya,” kata Syarifah.

MOMEN 
& MEMORI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini