KUALA SELANGOR – Seorang lelaki warga emas maut manakala dua cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Batu 3 Simpang Sungai Kalkati, Tanjong Karang di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, Khamis @ Miskin Pee, 65, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan selepas tersepit.
Sementara isterinya, Faridah Mohd. Taib, 60, cedera di tangan dan seorang lagi wanita berusia 52 tahun cedera di kedua belah kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Azmi Abbas berkata, berdasarkan maklumat awal kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu yang menaiki Perodua Myvi dalam perjalanan ke Kuala Selangor dari Sekinchan.
Katanya, sebuah lagi kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dinaiki dua beranak dari arah bertentangan.
“Seramai lapan anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 3.04 petang.
“Setibanya di lokasi kejadian mendapati kereta Perodua Myvi telah terbabas masuk dalam parit dan terbakar di bahagian enjin namun telah dipadamkan orang awam menggunakan alat pemadam api,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya kemudiannya mengeluarkan pasangan suami isteri itu yang tersepit di dalam Perodua Myvi tersebut.
Jelas Azmi, pemandu Myvi tersebut iaitu Khamis meninggal dunia di lokasi kejadian selepas disahkan pasukan perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE











