KUALA LUMPUR 12 Julai – Industri pelancongan tempatan tidak akan terjejas dan berdepan impak sekiranya tambang e-hailing meningkat berikutan kemungkinan penyusutan bilangan pemandu perkhidmatan tersebut.
Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, sektor pelancongan tempatan tidak akan terjejas kerana kebiasaannya pelancong sama ada dari luar negara atau pelancong tempatan mempunyai belanja yang mencukupi.
“Jika ada pelancong mahu menggunakan e-hailing, sebagai pelancong mereka memang ada kemampuan dan belanja yang mencukupi, walaupun pelancong tempatan ia tidak akan memberikan impak.
“Ia tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negara ini tapi mungkin akan memberi kesan kepada rakyat tempatan yang sentiasa menggunakan perkhidmatan e-hailing ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memo persefahaman (MoU) di antara MATTA dan empat syarikat pengendali perkhidmatan e-hailing di sini hari ini.
Semalam, Presiden Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia, Chong Ming Huei dilaporkan berkata bahawa pengguna e-hailing dijangka berdepan kenaikan tambang sehingga dua kali ganda.
Jelasnya, ia berikutan kemungkinan penyusutan bilangan pemandu e-hailing yang beroperasi disebabkan peraturan baharu kerajaan berhubung lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV).
Sementara itu, jelas Kok Liang, hasil kerjasama yang dijalankan bersama empat syarikat e-hailing itu membuka peluang kepada ahli-ahli MATTA untuk menawarkan perkhidmatan mereka dengan menggunakan platform aplikasi e-hailing.
“Ia membolehkan ahli-ahli kami yang menjadi operator pengangkutan memaksimumkan perkhidmatan mereka menerusi aplikasi syarikat-syarikat ini.
“Ini juga bagi menunjukkan komitmen kami untuk mengukuh mengembangkan perniagaan ahli dengan meneroka peluang dalam pelbagai sektor dalam industri pelancongan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











