KUALA LUMPUR – Pendakwah Islam, Firdaus Wong Wai Hung memfailkan saman fitnah terhadap aktivis sosial, Siti Zabedah Kasim bernilai RM2 juta berhubung kenyataan Siti Zabedah Kasim yang berbaur fitnah dalam laman media sosial baru-baru ini.
Menerusi kenyataan Facebook milik Firdaus berkata, dia membuat keputusan untuk melakukan saman tersebut atas nasihat peguamnya kerana Siti Zabedah Kasim juga dikenali sebagai Siti Kasim membuat fitnah yang keterlaluan terhadap beliau.
“Cukuplah selama ini mereka bebas bercakap dan berbuat sesuka hati tanpa ada tindakan undang-undang terhadap mereka oleh mana-mana pihak.
“Selama ini kita berdiam diri dan diserang bertubi-tubi, ianya perlu dihentikan. Kita perlu serang dengan ilmiah serta tindakan undang-undang justeru itu, doakanlan kemenangan kita semua,” katanya dalam kenyataan Facebook beliau hari ini.
Menurut Firdaus, semoga ada kebaikan dari saman ini dan keharmonian negara berdasarkan Rukun Negara serta nilai ketimuran terus terjaga.
Baru-baru ini media melaporkan, Siti Kasim menolak pelawaan berdebat secara langsung di tempat terbuka bersama Firdaus dengan kos perbelanjaan debat itu akan dikongsi oleh kedua-dua pihak serta dicadangkan untuk disiarkan secara langsung dalam platform media yang dipersetujui bersama.
Namun, debat yang dirancang bersama tiga tajuk yang sudah dikemukakan itu hanya dipersetujui oleh Siti Kasim sekiranya diadakan secara FB Live sahaja kerana beliau tidak berhasrat untuk membazirkan wang untuk membayar kos penganjuran tersebut. – K! ONLINE











