SHAH ALAM – Laporan penuh pemeriksaan bas sekolah terlibat dalam insiden seorang murid maut selepas terjatuh akibat kenderaan dinaiki mengalami lantai reput di Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kelmarin.
Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) dalam kenyataan hari ini berkata, laporan itu susulan pemeriksaan bas sekolah itu bersama dengan PDRM, JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada Selasa lalu.
Katanya, bas itu telah melalui pemeriksaan berkala pada Mei lalu berdasarkan rekod dan gambar-gambar pemeriksaan dijalankan pihaknya.
“Puspakom telah memeriksa bas sekolah tersebut mengikut skop dan piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta semua item pemeriksaan pada bas sekolah tersebut adalah dalam keadaan baik.
“Bagaimanapun, kami tidak memberikan kenyataan mengenai laporan itu secara lanjut susulan di bawah siasatan polis,” katanya.
Menurut Puspakom, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelasnya, berdasarkan pemeriksaan berkala mendapati lebih 7,300 daripada 26,000 buah bas telah gagal pemeriksaan Puspakom kerana tidak mengikut piawaian pemeriksaan bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 30 Jun lalu.
“Pemeriksaan dijalankan merangkumi bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, sistem gantungan kenderaan, gelincir sisi, asap dan lain-lain lagi yang tertakluk dalam skop pemeriksaan.
“Rekod ini jelas menunjukkan bahawa Puspakom tidak sewenang-wenangnya meluluskan kenderan yang tidak menepati skop dan piawaian pemeriksaan,” tegasnya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, maut selepas terpijak lantai bas reput dan terjatuh di atas jalan di Kampung Kandis, Pasir Puteh Kelantan dalam kejadian pukul 11.50 pagi pada 4 Julai lalu.
Difahamkan, mangsa bersama rombongan sekolahnya dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Besut, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM). – K! ONLINE











