PUTRAJAYA 12 Julai- Pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk perkhidmatan itu dibenarkan untuk meneruskan operasi mereka selama tiga bulan lagi mulai hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan telah memutuskan agar penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing yang bermula hari ini dilaksanakan melalui pendekatan ‘soft landing’.
Beliau berkata, kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil pendekatan penguatkuasaan yang berbentuk untuk mendidik secara berperingkat kepada pemandu-pemandu e-hailing.
“Untuk tempoh tiga bulan mulai hari ini, pemandu tanpa lesen PSV atau memandu kenderaan yang tidak mematuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan.
“Setakat semalam, sebanyak 31 syarikat perniagaan pengantaraan (EHO) telah diluluskan permohonan untuk mendapatkan Lesen Perniagaan Pengantara (LPP) dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Menurut Siew Fook, penguatkuasaan ke atas pemandu e-hailing bermula hari ini tanpa penangguhan dan sehingga kini sebanyak 17,596 e-hailing Vehicle Permit (eVP) telah dikeluarkan iaitu merangkumi 4,216 eVP teksi dan 13,380 eVP kenderaan persendirian.
Katanya, sebanyak 31, 731 calon telah mendaftar untuk menduduki kursus dan ujian PSV di 226 Institut Memandu di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 25, 248 calon telah melengkapkan sesi kursus dan 19,891 calon telah lulus ujian PSV.
“Di samping itu, sebanyak 16, 528 telah menghadiri kursus PSV yang dijalankan oleh EHO sendiri. Daripada jumlah itu, sebanyak 3,090 calon telah lulus ujian PSV. Sekali gus menjadikan calon yang lulus PSV ialah sebanyak 22,981 orang,” katanya.
Sementara itu katanya, EHO selaku pemegang LLP yang sah perlu memastikan syarat dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi dan kadar komisen yang dikenakan kepada pemandu e-hailing adalah pada kadar minimum 20 peratus sahaja.
“Manakala kadar komisen kepada pemandu teksi yang beroperasi melalui aplikasi e-hailing pula adalah pada kadar minimum 10 peratus. Penguatkuasaan peraturan dan syarat-syarat juga akan dilakukan sepenuhnya ke atas pihak EHO,” katanya.
Siew Fook berkata, kerajaan berharap semua EHO dan pemandu e-hailing mengambil perhatian serius untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan selain tidak perlu menunggu saat-saat akhir untuk proses mendapatkan lesen PSV dan sebagainya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pihak yang mengambil kesempatan menawarkan lesen melalui ‘pintu belakang’, Siew Fook meminta isu berkenaan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melibatkan isu integriti. – UTUSAN ONLINE











